Veteran DAP, Kulasegaran tarik diri pemilihan parti

SHAH ALAM - Seorang lagi pemimpin veteran DAP, M Kulasegaran mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada generasi muda membawa pembaharuan dalam parti.

"Saya percaya sudah tiba masanya untuk saya berundur dan memberi peluang kepada pemimpin muda menerajui parti.

"DAP perlu sentiasa segar dalam menghadapi cabaran negara yang semakin berubah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kulasegaran, 67, yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, menegaskan bahawa perjuangan DAP dalam menegakkan keadilan, hak asasi manusia, dan tadbir urus yang baik perlu diteruskan.

"Saya menyertai DAP kerana idealisme sosialis dan demokratik yang memperjuangkan keadilan serta kepelbagaian kaum di Malaysia. Ini adalah penghormatan besar buat saya," katanya.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan muda agar tidak melupakan jasa ahli-ahli yang telah berkorban demi parti.

"Saya masih ingat ramai ahli yang menggunakan wang sendiri untuk menghadiri acara parti dan berkempen dalam pilihan raya demi perjuangan kita. Sumbangan mereka tidak boleh dipandang remeh," katanya.

Baru-baru ini, dua lagi pemimpin veteran DAP, Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun, turut mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti yang dijadualkan bulan depan.

Kok Wai yang juga penasihat parti serta Ahli Parlimen Cheras serta Kui Lin - Bendahari DAP serta Ahli Parlimen Bukit Bintang- berkata, mereka mengambil langkah itu bagi memberi laluan kepada pelapis baharu.

Dalam pada itu, Kulasegaran merakamkan penghargaan kepada veteran DAP seperti Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung Anthony Loke Siew Fook dan seluruh kepimpinan parti atas sokongan mereka sepanjang perjalanannya dalam politik.

Pemilihan kepimpinan baharu DAP dijangka menjadi penanda aras penting dalam menentukan hala tuju parti itu bagi menghadapi cabaran politik semasa dan masa depan.