KENINGAU - Istilah ‘palui’ (bodoh) sangat tidak sesuai diucapkan oleh seorang pemimpin dari Semenanjung yang datang berceramah politik di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor berkata, ia ibarat satu penghinaan kepada pemimpin dan rakyat di negeri ini.
Beliau berkata, budaya politik seperti itu juga tidak wajar dibawa ke negeri Sabah yang mengamalkan politik secara sopan mementingkan keharmonian.
"Banyak pemimpin dari seberang datang, saya beritahu mereka kalau datang mesti sopan santun datang negeri kita, jangan bawa perangai dari sana ke Sabah yang harmoni dan aman damai ini.
"Saya mahu beritahu Hamzah Zainudin jangan hina orang Sabah, jangan hina pemimpin Sabah," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau, di sini pada Khamis.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata demikian merujuk kepada ucapan Timbalan Presiden Part Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa menyebut pemimpin dan rakyat Sabah sebagai 'palui' ketika berucap dalam satu program PN di Sepanggar, baru-baru ini.
Hajiji berkata, Sabah tidak memerlukan pemimpin bersikap seperti itu dan mereka tidak sewajarnya datang ke negeri ini untuk membawa budaya berpolitik dari Semenanjung.
"Kita tidak mahu pemimpin seumpama ini. Walaupun kita meraikan demokrasi, tapi budaya orang Sabah lain dengan sebelah sana (Semenanjung). Kalau sana maki hamun, makilah kamu, tapi jangan bawa ke Sabah," katanya.
Sehubungan itu, Hajiji menggesa rakyat berbilang etnik, kepercayaan dan keturunan di negeri ini supaya bersatu hati menjaga keharmonian dan menyokong GRS yang menggabungkan lapan parti tempatan demi kebaikan Sabah.
"Kerana itulah saya ingin merayu kepada rakyat kita yang berbilang kaum dan kepercayaan ini, marilah kita bersatu hati dan sokonglah GRS yang terdiri daripada parti tempatan kita," katanya.