SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memuktamadkan persoalan Titah Adendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk sama ada ia perlu dilaksanakan serta-merta jika titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu didapati menepati lunas undang-undang.
Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, keputusan itu akan dibuat hakim selepas menilai fakta dan undang-undang susulan Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan bekas Perdana Menteri itu memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mengesahkan dan menjawab kewujudan titah tambahan tersebut.
“Sama ada Titah Adendum itu sah atau tidak, ia adalah persoalan undang-undang yang mahkamah sahaja boleh putuskan selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak.
“Ini memandangkan tidak ada peruntukan mengenai titah di luar (Lembaga Pengampunan) atau Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong kerana ia tidak dinyatakan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, kalau ada yang di luar daripada itu, ia terpulang kepada mahkamah. Mahkamah akan membuat tafsiran bahawa kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong adalah termasuk juga keputusan yang di luar daripada Lembaga Pengampunan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sah atau sebaliknya Titah Adendum jika tidak dibawa ke dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan sekalipun ia benar-benar wujud.
Pada Isnin, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Titah Adendum tidak pernah dibincang ataupun dibangkitkan ketika Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula memaklumkan Jabatan Penjara tidak pernah menerima sebarang perintah daripada Lembaga Pengampunan untuk membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Terdahulu, pasukan pembelaan Najib menyerahkan salinan Titah Adendum yang diambil daripada rekod peribadi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut diserahkan ialah sepucuk surat daripada Istana Pahang yang mengesahkan Al-Sultan Abdullah memperkenan tahanan rumah Najib ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 13 Januari ini untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, berdasarkan fakta hasil hujahan kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan Najib kelak, Mahkamah Tinggi akan menentukan kesahihan titah berkenaan.
“Sekali lagi saya tegaskan, persoalan lanjut mengenai Titah Adendum ini hanya boleh dijawab oleh undang-undang iaitu mahkamah. Jadi, kita nantikan bagaimana perjalanan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur nanti.
“Kita kena faham isu Titah Adendum ini tidak pernah berlaku sebelum ini, selain ia juga tidak termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Jadi hujah di mahkamah nanti sangat penting,” ujarnya.
Seorang lagi Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan Mahkamah Rayuan hanya membenarkan permohonan semakan kehakiman tetapi belum memutuskan Titah Adendum tersebut sah secara perundangan.
“Berdasarkan hujah peguam Persekutuan, keputusan pengampunan itu telah ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu dan tidak melibatkan Titah Adendum, jadi adakah pihak Najib boleh mencabar keputusan Lembaga Pengampunan ini melalui semakan kehakiman?” katanya.
Beliau menambah, Mahkamah Tinggi juga akan memutuskan sama ada Seri Paduka mempunyai kuasa mutlak untuk mengeluarkan Titah Adendum jika benar ia dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Kerajaan tidak mempersoalkan kewujudan Titah Adendum tersebut, namun persoalan sama ada titah itu merupakan keputusan prerogatif Seri Paduka mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah sesuatu yang akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi nanti,” ujarnya.