Kedudukan Zahid tidak tergugat

SETELAH setahun berlalu, polemik kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang memperkenankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjalani baki hukuman penjara di rumahnya akhirnya terungkai.

Meskipun begitu, polemik Titah Adendum ini hakikatnya memberi implikasi besar terhadap hubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN), bukan sahaja dalam aspek solidariti sesama ahli parti itu sendiri bahkan pengukuhan kerjasama Kerajaan Perpaduan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi bekas Setiausaha BN Pulau Pinang, Azizi Safar, di sebalik polemik pengesahan kewujudan Titah Adendum didakwa memecah-belahkan UMNO, ia masih tidak memberi kesan besar terhadap pengukuhan sokongan status quo kepimpinan UMNO daripada kalangan ahli-ahlinya.

Berdasarkan maklum balas akar umbi UMNO, Azizi menjelaskan, kepimpinan UMNO khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berjaya memainkan peranan sebagai ‘saksi kritikal’ menerusi afidavit mereka dalam mengesahkan kewujudan Titah Adendum tersebut.

“Meskipun UMNO mengeluarkan larangan saat akhir terhadap ahli-ahlinya daripada menyertai Himpunan Solidariti Bersama Najib pada 6 Januari, parti itu tidak menunjukkan sikap keras terhadap mana-mana ahli dan pemimpin yang hadir.

“Lagipun keputusan panel hakim Mahkamah Rayuan semalam (Isnin) tidak menunjukkan UMNO meninggalkan Najib. Cuma beban pihak bertanggungjawab berhubung isu itu kini beralih pada bahu parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama Anwar,” katanya kepada Sinar Harian.

Azizi turut terkejut terhadap sentimen akar umbi UMNO yang seolah-olah menganggap menteri-menteri UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said langsung tidak bertanggungjawab terhadap kekeliruan isu kewujudan Titah Adendum sejak setahun lalu.

“Saya yakin status quo dalam kepimpinan UMNO akan terus terjamin menerima sokongan akar umbi. Cuma dari aspek hubungan UMNO dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan terjejas kerana sudah timbul rasa sangsi dan ketidakpercayaan ahli-ahli parti itu terhadap Anwar sendiri,” katanya.

Turut senada, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub mengakui keputusan kes Najib pada Isnin hakikatnya membuktikan Ahmad Zahid tidak pernah ada usaha meninggalkan sahabatnya itu walaupun beliau acap kali dituduh bermain wayang dan tidak tegas mempersoal kewujudan Titah Adendum.

Namun begitu, Mustapha mengakui hubungan UMNO dengan Kerajaan Perpaduan kini memasuki fasa rumit dengan majoriti akar umbi masih tertanya-tanya pihak mana yang berkomplot mahu menyembunyikan Titah Adendum berkenaan serta motif tindakan berkenaan dibuat.

“Dengan kita masih berpegang kenyataan Presiden UMNO bahawa kerjasama BN-PH akan diteruskan sehingga PRU16, saya percaya polemik Najib ini mungkin boleh beri kesan negatif terhadap kestabilan kerajaan sedia ada sekiranya kepimpinan sedia tidak telus menjelaskan perkara sebenar,” katanya.