SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilaksanakan segera.
Ini kerana menurutnya, isu berkenaan pernah disuarakan di Parlimen pada Mac tahun lalu namun tiada sebarang jawapannya mengenainya diberikan oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Bera itu menerusi catatan di Facebooknya berkongsi klip video sewaktu sesi pertanyaannya di Parlimen serta temu bual di dalam Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dikendalikan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
“Baru hari ini persoalan daripada saya terjawab selepas saya bangkitkan dalam Parlimen pada Mac tahun lalu.
“Hari ini mahkamah memutuskan dan mengesahkan adendum itu benar-benar wujud, semoga Titah Adendum dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Najib pada Isnin menjalani prosiding pendengaran rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum.
Pasukan pembelaan bagi pihak Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, namun telah disembunyikan daripada umum.
Kemenangan bagaimanapun berpihak pada Najib apabila Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong yang lalu.
Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh hakim Azizah Nawawi memutuskan agar kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.