SHAH ALAM - Melaksanakan pilihan raya umum (PRU) awal hanya akan mencetuskan persepsi ‘kerajaan separuh masak’ kerana rakyat berkemungkin melihat kerajaan gagal mengotakan janji-janji sebelum mencapai tiga perempat penggal pemerintahan.
Pensyarah kanan Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UITM), Dr Abdul Aziz Azizam berkata, pelaksanaan PRU sebelum tamat penggal juga akan menimbulkan risiko tinggi kepada Kerajaan Madani.
“Antaranya, ketidakseimbangan sentimen dan harapan rakyat akibat waktu yang tidak tepat dalam mengadakan pilihan raya. Ini kerana tidak semua janji-janji kerajaan dapat direalisasikan dalam tempoh singkat.
“Oleh itu, perkara yang tidak sempat direalisasikan atau belum memberi kesan kepada rakyat berisiko menimbulkan tanggapan negatif malah keadaan ini bakal memberikan lebih banyak kelebihan kepada pihak pembangkang,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, ia juga memberi isyarat kepada rakyat bahawa kerajaan mungkin dalam keadaan tidak stabil atau sedang berhadapan konflik dalaman yang berkaitan dengan kepincangan kepimpinan.
“Kesan utama daripada PRU awal adalah ketidakstabilan persepsi terhadap pemerintah. Isu ini perlu diuruskan dengan baik kerana ia secara langsung boleh mempengaruhi sokongan pengundi.
“Saya berpendapat perkara ini tidak mungkin berlaku dengan mudah kerana isu ini lebih banyak dibangkitkan oleh pihak pembangkang. Sudah tentu, kerajaan tidak akan melayan umpan pembangkang dengan sewenang-wenangnya,” ujarnya.
**media[2939505]**
Abdul Aziz juga tidak menafikan kemungkinan berlaku pembentukan gabungan baharu atau perubahan dalam kerjasama parti jika PRU diadakan lebih awal.
“Ia memandangkan pengalaman pada penggal ini menunjukkan keuntungan yang diperoleh melalui kerjasama antara gabungan parti. Jika PKR tidak bersama UMNO, kerajaan hari ini mungkin tidak dapat dibentuk.
“Keberkesanan gabungan kali ini bergantung pada sejauh mana kejelasan ideologi boleh dikongsi bersama serta kepentingan strategik yang dijangka akan memberi kesan positif kepada gabungan tersebut,” katanya.
Pada Ahad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen susulan keyakinan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Madani mempunyai kelebihan memenangi PRU16 jika ia diadakan dalam tempoh terdekat.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, dengan pembubaran Parlimen, PRU16 boleh diadakan dengan segera memandangkan rakyat kini sudah tidak sabar mahu mengubah kerajaan.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, tidak ada keperluan untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat kerana masih terdapat tempoh matang sehingga Disember 2027.
“Baru dua tahun berlalu sejak PRU diadakan pada November 2022 dan saya rasa tiada keperluan mengadakan PRU awal kerana masih ada tempoh berbaki tiga tahun.
“Fokus utama sekarang seharusnya diberikan kepada isu-isu rakyat seperti kesejahteraan masyarakat, kos sara hidup, pendidikan dan peluang pekerjaan dengan kepimpinan yang lebih mengutamakan agenda rakyat daripada kepentingan politik,” katanya.
Malah, Sivamurugan berpandangan bahawa PRU dalam masa terdekat boleh mempengaruhi perancangan kerajaan dan agensi penyampaian.
“Ini kerana kerajaan kini berada dalam fasa kestabilan politik yang memerlukan iltizam dan harus memenuhi beberapa pengisian serta hasrat digariskan dalam prinsip Kerajaan Madani.
“Fasa ini dilihat lebih sesuai untuk memenuhi keperluan dan harapan rakyat dalam usaha meningkatkan kesejahteraan, meskipun amalan demokrasi di Malaysia membolehkan Dewan Rakyat dibubar pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu tempoh lima tahun,” ujarnya.