Henti pertikaian, kontroversi lantikan Musa Aman - PM

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap segelintir pihak yang mengaitkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah baharu dengan pendirian kerajaan berhubung rasuah.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak perlu dibangkitkan memandangkan Musa sendiri telah dilepas dan dibebaskan daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah, empat tahun lalu.

"Keputusan melepaskan Tun Musa itu keputusan 2020 semasa Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menjadi Perdana Menteri.

"(Jadi sekarang ini) Apa isu dia? Kemudian melalak seolah jadi masalah.

"Ada kes dibawa (ke mahkamah), jika tidak ada, (maka) kes ditutup," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku biografi Lim Kit Siang: Malaysian First di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Anwar berkata, pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah sebagai Yang Dipertua Negeri itu memang telah dimaklumkan dan dirujuk kepada beliau.

Bagaimanapun katanya dalam isu tersebut, beliau sebagai Perdana Menteri maklum batasan bahawa dalam Perlembagaan, kuasa lantikan Yang Dipertua Negeri adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Sekarang setelah Agong perkenan (pelantikan Musa), apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa Aman menjadi seorang Yang Dipertua Negeri yang baik untuk Sabah," katanya.

Pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mencetuskan perdebatan yang mengaitkan beliau dengan tuduhan rasuah lampau dan pembebasannya pada 2020.

Pada Selasa, Musa, 73, menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.