RON95: Kerajaan perlu belajar daripada kecelaruan subsidi diesel

PUTRAJAYA - Kerajaan Madani perlu belajar daripada kecelaruan pelaksanaan kenaikan harga diesel sebelum memuktamadkan subsidi RON95.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan, jumlah rakyat yang akan terkesan akibat kenaikan mendadak harga RON95 adalah jauh lebih besar berbanding pelaksanaan subsidi bersasar terhadap diesel.

"Rakyat tentunya tidak lupa apabila kerajaan beria-ia meminta mereka mengisi maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tetapi akhirnya apabila perlaksanaan kenaikan harga diesel dibuat, rakyat perlu pula mengisi maklumat mereka dalam sistem Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani)," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, jawapan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Dewan Rakyat berhubung definisi 15 peratus golongan berpendapatan tinggi (T15) yang akan diumumkan dalam suku pertama tahun depan jelas menunjukkan bahawa perkara tersebut masih dalam perbincangan.

Sedangkan katanya, Rafizi pada 28 Oktober lalu menyatakan penilaian definisi T15 memerlukan masa sebulan.

"Saya bertanya soalan tersebut (garis masa) kerana kenaikan mendadak harga petrol RON95 akan memberi kesan kepada semua pengguna kenderaan apatah lagi mereka yang seharusnya termasuk dalam 85 peratus penerima ini tidak dimasukkan tidak tersenarai.

"Saya nak nasihatkan Kerajaan Madani, belajarlah dari kecelaruan pelaksanaan kenaikan harga diesel sebelum ini," katanya.

Kerajaan dijangka melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tujuannya untuk penjimatan sehingga RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya ketika ini.