PSM lawat Sinar Harian, bincang isu kritikal berkaitan rakyat

SHAH ALAM - Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan lawatan ke Sinar Harian bagi membincangkan isu kritikal kemasyarakatan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini pada Selasa.

Pengerusinya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, kunjungan pihaknya itu bertujuan untuk berkongsi idea dan memperjuangkan nasib rakyat terutama daripada golongan B40.

“Jadi sehubungan itu, kami rasa sekarang sistem politik di Malaysia adalah salah satu punca kepada masalah yang wujud dan ia juga terlalu bersifat perkauman.

**media[2923101]**

“Dahulu peranan dibawa parti politik mungkin tiada masalah tetapi sekarang ia sudah jadi toksik dan ekstrem di mana sistem yang didasarkan pada parti etnik (kaum) telah memecahkan rakyat kita.

“Secara tidak langsung menambah beban kepada masalah dalam kalangan rakyat juga,” katanya.

**media[2923100]**

Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Digital) Sinar Harian, Ruzy Adila Idris; Pengarang Eksekutifnya (Cetak), Azmi Tarmizi; Timbalan Pengerusi PSM, S Arulchelvan dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.

Turut hadir, Editor Sinar Daily, Ashwin Kumar; Setiausaha Agung PSM, Sivaranjani Manickam; Bendahari Kehormatnya, Soh Sook Hwa dan Ahli Perhubungannya Negeri Pahang, Wan Zamzahidi Wan Zahid.

Menurut Jeyakumar, antara masalah yang menjadi isu dalam kalangan masyarakat dan diangkat PSM adalah berkaitan kesihatan, pendidikan atau pencen.

Tambah beliau, penting untuk mengharmonikan rakyat dengan membincangkan penyelesaian kepada masalah dan bukannya berdebat melibatkan isu perkauman atau agama yang mampu memecahbelahkan masyarakat.

“Sebab itu kita datang ke Sinar Harian untuk berbincang menyebarkan mengenai perkara tersebut sekali gus memupuk semangat nasionalisme dan solidariti semua orang.

“Kami sangat berharap, idea yang dibawa PSM dapat dikongsi melalui Sinar Harian seterusnya memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.