SHAH ALAM - Menjadi tanggungjawab responden yang dinamakan untuk menjawab afidavit difailkan Datuk Mohamad Nizar Najib sekiranya titah adendum dizahirkan dalam sesuatu afidavit sebagai ekshibit.
Peguam, Mohd Fadhly Yaacob berkata, penama-penama atau responden sahaja boleh menjawab sama ada perintah adendum yang diekshibitkan dalam afidavit tersebut adalah satu dokumen yang tulen atau tidak.
Jelas beliau, penting untuk melihat sama ada titah adendum tersebut benar-benar wujud atau tidak.
“Untuk sahkan ia wujud atau tidak, responden perlu jawab. Perbicaraan hanya akan berdasarkan afidavit yang difailkan sahaja.
“Daripada afidavit yang difailkan, mahkamah akan buat keputusan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bagaimana untuk menentukan ketulenan titah adendum yang didakwa terkandung arahan menyatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Sebelum ini, Mohamad Nizar didakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Rayuan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, dokumen tersebut diterima Mohamad Nizar pada 2 Disember.
Sehubungan itu, Mohamad Nizar memfailkan afidavit yang mengesahkan bahawa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan titah tambahan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi penahanan dalam rumah.
Dalam pada itu, Mohd Fadhly menegaskan, titah adendum bukan perintah mahkamah tetapi perintah pengampunan yang dibuat oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
“Kalau kita nak tengok sudut perspektif perundangan, perintah Lembaga Pengampunan bukan satu perintah mahkamah untuk kita letakkan beban pada mahkamah untuk sahkan,” jelasnya.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman menegaskan, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu bersikap terbuka dan berterus terang dalam isu kewujudan titah adendum terhadap Najib serta tidak mengambil langkah menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat.
**media[2920750]**
Jelasnya, sebagai sebuah parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, usaha tersebut sepatutnya menjadi lebih mudah dan sekiranya keadaan tersebut tidak ditangani dengan lebih cermat maka ia dikhuatiri akan menghakis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang ada ketika ini.
Menurutnya, pendirian tegas kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang sepakat membela nasib Najib tidak boleh dipandang sebelah mata oleh Kerajaan Perpaduan.
“Malah pendirian tegas kepimpinan tertinggi BN yang sepakat membela nasib Najib adalah senada dengan kehendak kebanyakan rakyat yang mahu bekas Perdana Menteri berkenaan diberikan hak dan keadilan termasuk mengenai kewujudan perintah tambahan tahanan rumah yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
“Afidavit terbaharu Mohamad Nizar bahawa titah tambahan itu sememangnya benar-benar wujud telah menjadi pengetahuan umum yang tidak boleh dipandang mudah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.