SHAH ALAM - Tindakan meneruskan formula kerusi penyandang tidak relevan untuk dilakukan kerana berupaya menimbulkan keretakan hubungan dalam Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, daripada awal formula itu sudah tidak dipersetujui oleh parti komponen yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, amalan terdahulu adalah berdasarkan kepada agihan kerusi mengikut formula berapa yang perlu diperolehi oleh UMNO, MCA, MIC dan terkini Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Sebelum ini, MIC bertanding sembilan kerusi tetapi kalau berdasarkan formula kerusi penyandang, parti komponen BN itu hanya boleh bertanding satu sahaja (kerusi).
“Jika mengikut formula kerusi penyandang bermakna ia akan menyebabkan MIC dan MCA barangkali kehilangan peluang untuk bertanding di kerusi tradisi mereka.
“Kalau diteruskan (formula kerusi penyandang), ia boleh menimbulkan masalah dalam jentera, pemilihan calon, sabotaj dan macam-macam lagi yang mana perlu dielak oleh mana-mana parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menggesa BN tidak meneruskan tradisi pembahagian kerusi dimenangi kepada parti penyandang dalam pilihan raya akan datang.
Jelasnya, beliau tidak bersetuju jika hanya penyandang yang dibenarkan untuk terus bertanding di kerusi yang dimenangi.
Mengulas lanjut, Sivamurugan memberitahu, dalam konteks yang dinyatakan Saravanan, beliau mahu sebarang keputusan ke atas agihan kerusi itu kembali kepada meja perundingan dan perbincangan BN.