KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mahu kerajaan negeri berfungsi seperti biasa supaya usaha membangunkan Sabah dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, PKR Sabah memandang serius berhubung isu video dimuat naik dan heboh diperkatakan terkait dengan individu tertentu.
"Seperti yang semua sedia maklum, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun memulakan siasatan dan telah memanggil beberapa pihak.
"Jadi, PKR Sabah menggesa agar semua pihak memberi kerjasama yang baik dan sekiranya ada sebarang pelanggaran undang-undang maka mereka yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan Pusat menegaskan bahawa kerajaan Madani yang tegas dalam membenteras barah rasuah tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat.
"Pihak berkuasa dan institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya. Oleh itu biarlah Kerajaan negeri berfungsi seperti biasa agar perancangan dan pelaksanaan projek serta aktiviti dalam menjaga kebajikan rakyat dapat berjalan lancar.
"Kestabilan politik amat kritikal untuk mewujudkan ekosistem pertumbuhan ekonomi dan menarik keyakinan pelabur.
"Kami yakin pengundi di negeri ini bijak dan akan memilih pimpinan yang berintegriti pada pilihan raya akan datang. Biarlah mereka memilih secara demokrasi," katanya.
Sebelum itu, beberapa pihak menggesa supaya Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah susulan video melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah pimpinannya di muat naik di sebuah portal berita dan dikaitkan dengan dakwaan rasuah.