KANGAR - Angkatan Muda Harapan Negeri Perlis mengakui kecewa dan mengutuk kepincangan pentadbiran kerajaan negeri Perlis di bawah Perikatan Nasional (PN) susulan pertukaran Exco kali ketiga yang dilakukan.
Ketuanya, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad mendakwa, pertukaran exco tersebut mencerminkan kelemahan ketara dalam tadbir urus negeri dan meletakkan rakyat di negeri ini dalam risiko tinggi akibat ketidaktentuan kepimpinan negeri.
Menurutnya, pertukaran yang kononnya dilakukan atas alasan tidak berfungsi dengan baik adalah alasan yang tidak dapat diterima.
“Masalah utama adalah kegagalan kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN yang tidak mempunyai ketokohan, kebolehan, mahupun visi untuk mentadbir negeri dengan berkesan.
“Tindakan tidak konsisten ini telah menghakis keyakinan pelabur dan mencemarkan nama Perlis di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah Negeri Perlis berkata, lebih menyedihkan, kerajaan negeri tidak menunjukkan sebarang inisiatif serius untuk mencari sumber pendapatan sendiri, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan Persekutuan.
Dakwanya, sikap ini menggambarkan kelemahan perancangan ekonomi dan ketiadaan usaha untuk membangunkan negeri dengan memanfaatkan sumber yang ada.
“Perlis adalah sebuah negeri yang kaya dengan potensi dalam sektor pelancongan, pertanian, dan inovasi. Namun, potensi ini terus terabai akibat kegagalan kerajaan negeri untuk meneroka peluang dan menjana pendapatan yang mampan.
“Kebergantungan yang melampau kepada kerajaan Persekutuan hanya memburukkan lagi persepsi bahawa negeri ini tidak mampu berdiri dengan usaha sendiri, sekali gus mencalarkan maruah kita sebagai rakyat Perlis,” ujarnya.
Tambah Ahmad Fadhzil, pihaknya mendesak agar kerajaan negeri bertindak dengan bermaruah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) segera.
Menurutnya lagi, kembalikan hak rakyat untuk memilih kepimpinan yang benar-benar mampu membawa perubahan, mempertahankan nasib rakyat, dan mengembalikan keyakinan kepada Perlis.
“Hanya dengan mandat baru daripada rakyat, maruah negeri ini dapat diselamatkan. Cukup-cukuplah mencemarkan nama Perlis dengan pentadbiran yang lemah, tidak kompeten, dan berkepentingan diri.
“Rakyat Perlis berhak mendapat pemimpin yang adil, berwibawa, dan ikhlas dalam memperjuangkan kebajikan rakyat, bukan pemimpin yang hanya mementingkan kantung sendiri. Kami menyeru semua rakyat Perlis untuk bangkit bersama-sama memperjuangkan hak dan masa depan negeri ini,” katanya lagi.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan dua ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Perlis.
Mereka adalah ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak dan ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan.
Sementara itu, tiga ADUN yang diangkat menjadi Exco baharu adalah ADUN Guar Sanji dari Pas, Mohd Ridzuan Hashim dan dua wakil Bersatu iaitu ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dan ADUN Sena, Marzita Mansor.