PELANTIKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tepat pada masa selepas ekonomi negara digugat oleh pandemik Covid-19 yang melanda dunia dari 2020 ke 2021, lebih-lebih lagi berlaku perubahan besar terhadap landskap politik negara pada 2018 iaitu PRU14.
Seterusnya, buat pertama kali dalam sejarah negara apabila tertubuhnya kerajaan daripada parti campuran selepas PRU15 pada 2022 sehingga memerlukan kepimpinan dinamik dan pragmatik beliau untuk berdepan senario politik serta ekonomi yang begitu mencabar.
**media[2900522]**
Dengan berlatarkan bebanan politik iaitu ancaman undi tidak percaya, Anwar sebagai reformis tetap tegar mencapai misi beliau antaranya menstruktur semula ekonomi yang bukan sahaja menghadapi hutang mencecah RM1.5 trilion akibat terkesan oleh pandemik, tetapi juga kedudukan ekonomi Malaysia terus ketinggalan dalam kalangan negara ASEAN lain.
Bermula 2020, saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tumbuh dengan perlahan sehinggakan posisi menurun dari kedudukan ketiga atau keempat, bersaing dengan Singapura manakala di rantau ASEAN hanya di belakang Vietnam serta Filipina.
Begitu juga dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) semakin berkurangan saban tahun disebabkan hilangnya ciri-ciri menarik Malaysia di mata pelabur asing ekoran ketidakstabilan politik selepas PRU14 seperti pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh kurang lima tahun.
Justeru, pencapaian Anwar sebagai reformis ekonomi dalam tempoh dua tahun amat mengagumkan kerana keberaniannya melaksanakan agenda yang sering dielak atau ditangguhkan kepimpinan terdahulu mungkin disebabkan tekanan politik semasa.
Antara pencapaian terpenting Anwar dalam memacu misi reformasi ekonomi adalah Malaysia kembali menjadi magnet kepada pelaburan asing iaitu negara berpotensi menjadi pusat data terbaik di rantau Asia.
Ini dibuktikan dengan komitmen syarikat gergasi IT dunia seperti AWS, Microsoft, Google, ByteDance dan lain-lain membawa masuk pelaburan bernilai bilion ringgit dalam jangka masa panjang, malah sebagai syarikat multinasional (MNC) terkenal, mereka juga menarik pelbagai entiti IT lain untuk bertapak di Malaysia.
Kesan gandaan bukan sahaja mencipta ribuan peluang pekerjaan, bahkan perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memberi kesan kepada industri lain negara seperti hartanah, pembinaan, tenaga dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, kejayaan Malaysia menarik sektor pelaburan pusat data begitu dicemburui negara jiran ASEAN yang lain. Satu pusingan 180 darjah dipamerkan Anwar dalam memperkasakan agenda menarik FDI.
Selain itu, menstruktur semula kewangan negara khususnya perbelanjaan subsidi kerana ia langkah yang tidak popular bagi mengubah satu kebiasaan puluhan tahun lamanya. Pastinya tujuan utama iaitu mengurangkan hutang bukan suatu perkara mudah dan komitmen ini digarap melalui Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 di mana kerajaan sendiri meletakkan sasaran terbaik dari aspek nisbah kepada KDNK termasuk hutang negara, jaminan hutang, perbelanjaan pembangunan serta defisit belanjawan.
Ia bagi memastikan pentadbiran kerajaan telus dengan tata kelola yang lebih baik. Subsidi bersasar dimulakan secara berperingkat daripada perbelanjaan mengerjakan ibadah haji kepada makanan seperti telur dan ayam, tarif elektrik serta disusuli bahan api diesel pada Jun lalu.
Tidak dinafikan sesuatu yang baharu pasti mengundang kritikan, namun ia berjaya dilaksanakan tanpa memberi kesan lonjakan besar kepada kadar inflasi negara dan langkah-langkah tersebut akan memperbaiki kewangan kerajaan pada masa hadapan.
PERBAIKI KEWANGAN NEGARA
Dalam usaha mengimbangi kewangan negara dengan penstrukturan semula perbelanjaan kerajaan, Anwar terus membentangkan peningkatan jumlah Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion.
Bantuan tunai rakyat terus ditingkatkan dari RM10 bilion kepada RM13 bilion, begitu juga pelarasan gaji kakitangan awam dan anggota keselamatan yang sudah lebih 10 tahun tidak diselaraskan dengan kos sara hidup tinggi terutamanya selepas 2022.
Dasar fiskal beliau sebagai Menteri Kewangan diteruskan dengan mengembangkan ekonomi terutamanya kestabilan ekonomi domestik dan memberikan sokongan terhadap sektor perdagangan antarabangsa untuk terus memacu pertumbuhan KDNK dengan lebihan dagangan yang berterusan.
Dalam usaha menstruktur semula belanjawan negara, pembetulan dibuat kepada subsidi bersasar untuk memberikan bantuan kepada rakyat yang layak, bukannya warga asing, usahawan mahupun golongan maha kaya dan walaupun dikategorikan mampu, kerajaan tetap memberikan peruntukan besar dalam setiap belanjawan.
Jelas hutang negara masih meningkat, tetapi terkawal untuk perbelanjaan yang perlu dan ia sebahagian usaha Anwar dalam memperbaiki kewangan negara, malah pastinya ia bakal bertambah baik dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi.
Pelan Tindakan Strategik Ekonomi Madani yang diperkenalkan Anwar menjadi teras kepada semua pelan ekonomi negara seperti Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan lain-lain selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
Tempoh dua tahun selepas pelantikan beliau menyaksikan pelbagai perubahan struktur di peringkat makro mahupun mikro, bahkan ketidakselesaan dan kritikan rakyat dalam tempoh jangka pendek memang sukar dielakkan. Pepatah Melayu ada menyebut 'Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian'.
Tidak lama lagi, kita pasti dapat melihat peningkatan pertumbuhan KDNK dua tahun lalu yang disasarkan mencapai sekurang-kurangnya lima peratus pada 2024, setelah tumbuh 3.7 peratus 2023 iaitu RM1.8 trilion.
Jumlah perdagangan antarabangsa juga kembali meningkat setiap tahun dari RM2.637 trilion pada 2023 kepada 9.4 peratus pada 2024, malah setakat sembilan bulan pertama, jumlah mencapai RM2.383 trilion. Sudah tentu jumlah pelaburan asing terus meningkat.
Menurut kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, Malaysia mencatatkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM83.7 bilion merentasi pelbagai sektor bagi Januari hingga Mac 2024 mewakili peningkatan 13 peratus dari RM74.1 bilion untuk tempoh sama tahun lalu. Pelaburan yang diluluskan berjumlah hampir RM84 bilion untuk suku pertama 2024 itu mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap Malaysia.
Ia merangkumi 1,257 projek yang dijangka menjana 29,027 peluang pekerjaan baharu buat rakyat Malaysia. Pelaburan asing menyumbang 56.2 peratus bersamaan RM47 bilion daripada jumlah pelaburan, manakala baki pelaburan domestik bernilai RM36.7 bilion.
Kesimpulannya, kepimpinan Anwar tiba tepat waktu ketika negara memerlukan pemimpin berjiwa rakyat yang bukan sahaja mahukan negara menjadi maju, tetapi rakyatnya juga menikmati kemakmuran sepenuhnya. Itulah visi beliau yang diringkaskan menerusi Pelan Tindakan Strategik Ekonomi Madani.
Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid ialah Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School