SHAH ALAM - Pas pada saat ini mungkin dilihat lebih layak mengemukakan calon Perdana Menteri (PM) untuk Perikatan Nasional (PN) berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdasarkan beberapa faktor.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, hasrat disuarakan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dianggap wajar kerana Pas mempunyai kekuatan jentera lebih besar dan kuat berbanding Bersatu, sama ada di peringkat akar umbi, cawangan, bahagian mahu pun negeri.
**media[2900456]**
Malah, Mohammad Tawfik berkata, Bersatu sekarang berada pada titik pengaruh politik paling lemah berikutan ramai pemimpin utama dan ahli keluarga mereka terpalit dengan pelbagai kes mahkamah termasuklah Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Bersatu juga kini sedang mengalami ‘dehidrasi politik’ yang sukar untuk kembali kuat dalam tempoh terdekat kerana tiada kekuatan prinsip dan perjuangan konsisten setelah matlamat mereka untuk menjatuhkan Datuk Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Barisan Nasional tercapai pada PRU14.
“Jadi, tidak hairanlah jika Bersatu dilihat gagal mengawal wakil rakyatnya sehingga menyebabkan enam daripada 31 ahli Parlimennya kini berpaling tadah dan menyokong Perdana Menteri.
“Justeru, saya melihat Bersatu perlu menyelesaikan terlebih dulu masalah dalaman parti dan menambah bilangan kerusi yang boleh dimenangi mereka dalam PRU akan datang sebelum berebut mahu jadi calon Perdana Menteri berbanding Pas,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Hashim mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila menyatakan Muhyiddin bukan menjadi calon tunggal ‘poster boy’ PN yang muktamad kerana berpandangan ramai pemimpin dalam koalisi itu termasuk Pas yang dianggap berkelayakan.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, polemik calon Perdana Menteri PN timbul kerana Pas dilihat semakin hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin susulan kegagalan Ahli Parlimen Pagoh itu membantu koalisi terbabit kembali berkuasa di Putrajaya pasca PRU15.
“Dulu, Muhyiddin dianggap satu-satunya individu paling layak diangkat menjadi calon Perdana Menteri bagi gabungan pembangkang kerana beliau adalah pemimpin paling dominan dalam Bersatu dan PN.
“Namun, sekarang keadaannya sudah berubah...Pas melihat Bersatu kini berdepan banyak masalah dalaman parti termasuk kes mahkamah membabitkan Muhyiddin.
“Justeru, langkah Pas mahu mengangkat Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai ‘poster boy’ PN untuk kempen PRU16 nanti adalah satu tindakan tepat...ini kerana beliau mempunyai ciri pemimpin nasional, berpendidikan tinggi dan berimej bersih,” katanya.
Selain itu, Mazlan menegaskan Bersatu juga semakin berpecah berikutan pertembungan kem bakal Setiausaha Agung parti itu yang baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semasa kempen pemilihan parti terbabit baru-baru ini.
Keadaan itu, ujarnya, menjadi semakin buruk apabila Bersatu gagal mempertahankan beberapa kerusi pilihan raya yang sebelum ini dikuasai oleh PN seperti kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar meminta semua pihak menghormati pandangan Hashim bahawa wakil parti berkenaan lebih berhak menjadi calon ‘poster boy’ PN pada PRU16 akan datang
Menurutnya, Hashim mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memberikan pandangan, khususnya dalam isu-isu penting seperti calon Perdana Menteri PN.Jelasnya, pandangan bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu adalah berasaskan prinsip Islam dan bertujuan memastikan hala tuju perjuangan yang jelas, bukan untuk mencampuri urusan peribadi mana-mana pihak.
“Pas percaya kepada musyawarah dalam menyelesaikan isu dalaman PN. Oleh itu, sebarang kritikan peribadi hanya melemahkan kesatuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub menyifatkan cadangan mursyidul am Pas itu sebagai cadangan peribadi dan bukan mewakili pendirian PN.
“Saya berpegang kepada persetujuan asal bahawa Muhyiddin adalah calon tunggal Perdana Menteri PN kerana tiada sebarang perbincangan susulan mengenai perkara itu dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat Dewan Tertinggi PN,” katanya.