KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dijangka mengangkat sumpah secara rasmi sebagai ADUN kawasan itu pada 21 November ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, proses itu akan dilaksanakan sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung bagi membolehkan Mohd Azmawi memenuhi tanggungjawabnya sebagai ADUN.
"Proses itu pastinya dilaksanakan pada hari pertama sidang DUN berlangsung sempena pembentangan Belanjawan Kelantan 2025 pada 21 November ini," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mohd Azmawi daripada Barisan Nasional menewaskan calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional, Mohd Rizwadi Ismail pada Pilihan Raya Kecil Nenggiri 17 Ogos lepas setelah memperoleh 9,091 undi.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang yang mesra dengan panggilan Awie itu menang dengan majoriti 3,352 undi sekali gus membolehkan parti itu merampas kembali kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim (Bersatu). - Bernama