Tolak idea sokong agihan kuota 1/3 Dewan Negara

SHAH ALAM - Rakyat Sabah dan Sarawak wajib menolak sebarang idea 'berbahaya' daripada segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba menjustifikasi alasan menerima agihan satu pertiga daripada kerusi Dewan Negara diperuntukkan kepada negeri-negeri Borneo.

Pengarah Pengajian Asia di Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin berkata, idea 'berbahaya' itu dipercayai dikemukakan oleh beberapa NGO yang sebenarnya berasal dari Semenanjung Malaysia, dengan perkara itu telah ditentang keras oleh kesemua NGO Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, idea berkenaan juga dipercayai dipromosi secara besar-besaran oleh segelintir NGO asal Semenanjung berkenaan bagi mengaburi tuntutan asal Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) - menggesa peruntukan satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kerusi Dewan Rakyat kepada negeri-negeri Kepulauan Borneo itu sendiri.

"Tuntutan mengembalikan jumlah satu pertiga kerusi Dewan Rakyat kepada Sabah dan Sarawak adalah sebahagian usaha negeri-negeri Kepulauan Borneo untuk mendapatkan keadilan berhubung sejarah tertubuhnya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

"Apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura telah diperuntukkan lebih daripada 34 peratus atau satu pertiga jumlah kerusi Dewan Rakyat berdasarkan perjanjian termaktub dalam MA63.

"Perkara itu penting bagi memelihara kepentingan suara Sabah, Sarawak dan Singapura di dalam Dewan Rakyat. Bagaimanapun apabila Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia pada tahun 1965, sejumlah kerusi Parlimen milik Singapura yang sepatutnya dipindahkan jumlahnya kepada Sabah dan Sarawak tidak berlaku.

"Bahkan agihan itu dinikmati oleh negeri-negeri di Semenanjung," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Mengulas lanjut, James Chin menegaskan, tuntutan mengembalikan jumlah satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kerusi Dewan Rakyat adalah demi membetulkan fakta sejarah yang terpesong sejak tahun 1965.

Ujarnya, dengan kedudukan kerusi Dewan Negara dilihat tidak memiliki legitimasi politik lebih kukuh berbanding kerusi Dewan Rakyat, cadangan beberapa NGO Semenanjung yang mencadangkan kesemua senator dari Sabah dan Sarawak dipilih secara terus juga dilihat meragukan.

"Sekiranya mereka benar-benar ikhlas, mengapa cadangan sebegini tidak dikemukakan lebih awal? Mengapa mereka tidak mencadangkan sahaja kesemua ahli Dewan Negara akan dilantik secara terus?

"Adakah anda akan percaya ahli-ahli politik Semenanjung akan bersetuju? Saya yakin jawapannya tidak. Mana mungkin hanya Sabah dan Sarawak diberi ruang memilih senator secara terus, tetapi negeri-negeri Semenanjung perlu meneruskan sistem pemilihan sedia ada," katanya.

Selain itu, James Chin turut berpandangan, cadangan terkini daripada NGO-NGO Semenanjung yang turut menuntut 'satu individu, satu undi, satu nilai (OPOVOV)' juga adalah berpunca daripada dilema politik agama dan polarisasi perkauman yang kritikal di tempat mereka.

Jelasnya, di Semenanjung Malaysia membuktikan persaingan politik di antara kaum Melayu Islam dan bukan Melayu telah mencapai tahap toksik tertinggi.

"NGO-NGO dari Semenanjung sedang berusaha keras menuntut sistem OPOVOV di Sabah dan Sarawak kerana mereka sedar kesukaran merealisasikan perancangan sebegini di Semenanjung sekiranya negeri-negeri Kepulauan Borneo ditadbir di bawah sistem berbeza.

"Hakikatnya konflik politik pertembungan perkauman dan agama yang begitu toksik di Semenanjung langsung tidak terkesan dengan negeri-negeri Borneo.

"Jika NGO-NGO Semenanjung ini percaya mereka perlu memperbaiki sistem pengundian dan politik di Semenanjung, mereka harus melaksanakannya tanpa melibatkan Sabah dan Sarawak. Ini kerana keadaan politik toksik di Semenanjung berpunca daripada ahli-ahli politik mereka sendiri, bukan ada kaitan dengan kami," ulasnya.