Himpunan depan pusat khidmat Anwar tetap diteruskan

IPOH - Himpunan aman Mahkamah Rakyat Hukum Anwar akan tetap diteruskan di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun esok.

Pengerusi Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, biarpun pihak polis tidak memberikan kebenaran berkenaan, ia tidak akan menjadi halangan untuk mereka berhimpun.

Menurutnya, pemakluman yang dibuat pihak penganjur kepada polis sudah cukup dan perkara-perkara lain yang diminta sebenarnya tidak perlu kerana hanya sekadar untuk makluman pihak berkuasa.

"Yang penting kita sudah beritahu polis kita hendak berhimpun. Kita hendak berhimpun di kawasan lapang di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun. Bagi penganjur itu sahaja tanggungjawabnya iaitu untuk memastikan polis dimaklumkan dan memastikan penganjuran himpunan itu mengikut peraturan ketika ia berlangsung.

"Polis tak boleh ambil apa-apa tindakan pada peserta. Kalau polis ambil tindakan itu menyalahi Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012. Peserta boleh datang dan itu hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ceramah Umum Mahkamah Rakyat Hukum Anwar di Gugusan Manjoi di sini pada malam Jumaat.

Hadir sama pada ceramah tersebut, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria; Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan beberapa pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang lain.

**media[2741478]**

Sementara itu, Tun Faisal berkata, pihak polis hanya boleh mengambil tindakan jika ada peserta yang tidak mematuhi peraturan seperti merosakkan harta benda awam, membawa anak kecil, membawa senjata, melakukan provokasi, mencetuskan kekacauan dan pergaduhan.

Menurutnya, kesemua peserta akan diberikan taklimat mengenai perjalanan perhimpunan berkenaan dan jika terdapat mana-mana individu yang melakukan kesalahan, mereka akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan perhimpunan yang dirancang itu tidak memenuhi syarat ditetapkan serta tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut kerana menyalahi undang-undang walaupun pemakluman telah dibuat kepada pihak polis.