Syed Hussein tekad teruskan legasi kecemerlangan Sharifah Azizah

KLUANG - Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah berazam meneruskan legasi kepimpinan cemerlang Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu mengakui Sharifah Azizah banyak berjasa kepada masyarakat DUN Mahkota yang berbilang kaum.

“Allahyarham sangat berjasa (kepada masyarakat) di kawasan ini dan saya selaku calon akan meneruskan apa (inisiatif dan kerja) yang dibuat beliau,” katanya.

**media[2798251]**

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN bagi PRK DUN Mahkota di sini pada Sabtu.

Ahli perniagaan berusia 40 tahun yang menceburkan diri dalam arena politik kira-kira 20 tahun itu turut bersedia untuk menggalas tanggungjawab mewakili suara rakyat di kawasan berkenaan.

Syed Hussein yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian turut aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.