Syed Hussien calon BN PRK DUN Mahkota

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN bagi PRK DUN Mahkota di Command Centre BN di Taman Sri Kluang pada petang Sabtu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepiminan sayap BN dan Pakatan Harapan (PH).

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Dr Seri Wee Ka Siong dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Dianggarkan lebih 5,000 jentera dan penyokong hadir bagi memberikan sokongan meskipun hujan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan memilih Syed Hussien itu dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama Presiden UMNO, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, pemilihan Syed Hussien tepat bagi meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain di DUN Mahkota.

"Saya lihat calon kita seorang yang berwibawa yang boleh diketengahkan daripada banyak-banyak calon yang berkaliber.

"Kita memilih Syed Hussien dan berharap pengundi di Mahkota memberi ruang kepada beliau untuk meneruskan perjuagan dan perkhidmatan yang telah dibuat Allahyarham Datuk Sharifah Azizah sebelum ini," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.