PRK Nenggiri: Semua parti termasuk MCA, MIC turun berkempen

KUALA LUMPUR - Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan akan turun berkempen bagi memenangkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia termasuk MCA yang sebelum ini memboikot kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

"Ya, sudah tentu (MCA dan MIC akan turun berkempen). Semua sekali parti komponen akan terlibat.

"Semua yang berada (dalam Kerajaan Perpaduan) memang akan turun kempen dan tidak timbul (boikot) sebab semangat BN-PH bila ada pilihan raya, rasa tanggungjawab untuk bersama," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan BN-PH Bagi PRK DUN Nenggiri, di Menara Dato’ Onn pada Isnin.

Sebelum ini MCA tidak mahu terlibat dalam kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu susulan kerusi tersebut tidak ditandingi calon BN.

BN mempertaruhkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Nenggiri yang dijangka berlangsung Ogos depan.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi menjelaskan, gabungan tersebut akan memberi fokus kepada ceramah berkelompok berbanding ceramah mega.

Ini kerana ujarnya, sasaran berkelompok mampu memaksimumkan gerakan jentera antara parti dalam kerajaan.

“Fokus kita ialah sasaran pengundi berkelompok supaya dapat kenal pasti ahli dan penyokong.

"Kita ada penyokong BN dan PH, jadi semua jentera dapat menumpukan kepada pengundi di Nenggiri tanpa terlepas walau seorang," jelasnya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, Kerajaan Perpaduan telah mencapai kesepakatan dalam penyelarasan pergerakan jentera bahagian dan cabang di Kelantan termasuk dari negeri luar.

"Kita merasakan sudah sampai tahap kematangan kerana pengalaman dalam menghadapi PRK bermula dari Tioman sehingga Sungai Bakap, sedikit sebanyak membantu menguatkan kesefahaman antara dua jentera khususnya BN dan PH.

"Kita lihat fokus untuk menang di Nenggiri bergantung kepada kerja kuat kedua-dua jentera untuk meraih sokongan pengundi yang mempunyai pelbagai latar belakang demografi termasuk kampung tradisi, Felda dan paling penting kawasan Orang Asli," ujarnya.