Bersatu tidak akan terpesong haluan walaupun berdepan dugaan - Hamzah

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan terpesong haluan, dirampas atau ditenggelamkan walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, parti itu akan terus berjuang untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara dihormati berpandukan Perlembagaan Persekutuan yang adil dan saksama.

"Walaupun dalam usia semuda ini, Bersatu berjaya menonjolkan barisan kepimpinan yang mempunyai nilai kematangan, kewibawaan dan rekod perkhidmatan baik.

"Banyak kejayaan tercatat dalam sejarah politik Malaysia hasil perjuangan parti ini, khususnya ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah negara.

"Bersatu adalah perjuangan rakyat. Bermula dengan 13 ahli Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) 2018, Bersatu memenangi 31 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 lalu," katanya dalam satu kenyataan di Facebook sempena ulang tahun kelapan Bersatu, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hamzah memaklumkan parti yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibina atas landasan perjuangan politik dan pentadbiran yang bersih, berintegriti serta menjaga kebajikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Ujarnya, Bersatu akan menjadi satu wadah politik kepada seluruh rakyat Malaysia berdasarkan prinsip yang digariskan parti berkenaan.

"Insya-ALLAH, bahtera Bersatu sedang belayar menuju kejayaan menjadi wadah politik orang Melayu, kaum pribumi dan seluruh rakyat Malaysia dengan berteraskan lima prinsip Idealisme Perjuangan iaitu Inklusif, Sederhana, Demokratik, Integriti serta Prihatin.

"Bersatu akan terus mara. Bersatu akan terus menongkah arus demi agama, bangsa dan negara. Bersatu akan terus berperanan menjadi suara kepada perjuangan rakyat.

"Selamat Menyambut Ulang Tahun Bersatu! Hidup Bersatu," katanya.