Bersatu Perak sokong Peja tanding Naib Presiden

IPOH - Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak memberi sokongan penuh kepada Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk bertanding merebut jawatan Naib Presiden Bersatu pada pemilihan kali ini.

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, dalam masa sama, pihaknya juga sebulat suara menyokong sepenuhnya seruan pelan cadangan penyatuan yang diilhamkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Konvensyen Bersatu tempoh hari.

Menurutnya, cadangan tersebut diyakini mampu mampu mewujudkan keharmonian dan kesepaduan dalam kalangan pimpinan hinggalah ke peringkat ahli akar umbi.

"Badan Pimpinan Negeri Perak akur dan menyatakan taat setia kepada presiden dan mendokong prinsip mengutamakan kepentingan parti daripada individu demi survival parti dalam mengharungi perjuangan ke arah PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16).

"Badan Pimpinan Bersatu Perak juga telah membuat ketetapan sebulat suara memberi sokongan sepenuhnya kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekiranya beliau berhasrat bertanding jawatan Naib Presiden Bersatu pada pemilihan parti yang akan berlangsung tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zainol Fadzi berkata, perkara tersebut diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Badan Pimpinan Bersatu Perak yang diadakan pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainol Fadzi memaklumkan bahawa ⁠Bersatu Perak juga menyokong mana-mana pimpinan Perak yang menawarkan diri bertanding di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan sayap-sayap parti pada pemilihan kali ini.

**media[2735076]**

Pada 13 Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan bahawa Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bakal 'naik pangkat' dan menyandang jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan akan datang.

Perbincangan mengenai pertukaran berkenaan telah dilakukan Ahli Parlimen Pagoh itu bersama Ahmad Faizal bersama beberapa ahli MKT baru-baru ini.

Dalam masa sama Ahmad Faizal pula menegaskan bahawa keputusan untuk melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Hamzah dilakukan secara rela hati.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga bekas Bendahari Bersatu Perak, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menggesa Ahmad Faizal bertanding bagi mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Bersatu pada pemilihan parti berkenaan yang akan berlangsung tahun ini.