Saman RM100 juta tidak ikat Jailani sebagai ADUN

BIARPUN berhadapan denda RM100 juta akibat melompat parti daripada UMNO kepada Pas secara bersembunyi, senario itu tidak mempengaruhi status atau kedudukan politik Datuk Muhamad Jailani Khamis sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi daripada Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, hal ini kerana kewajipan Muhamad Jailani mematuhi disiplin parti adalah berdasarkan perjanjian kontrak dengan UMNO dan terkandung perlembagaan negeri.

**media[2734794]**

“Meskipun Muhamad Jailani mungkin disaman dengan jumlah wang besar, ia tidak menjadi penghalang beliau meneruskan peranan sebagai ADUN. Ini kerana perjanjian itu hanya mengikat antara dia dan parti.

“Sekiranya UMNO mahu membuat tuntutan ganti rugi, mereka boleh mengemukakannya di mahkamah, namun ia tidak memberi kesan terhadap kedudukannya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada Sinar Premium.

Menurut Muhammad Fathi, bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka itu tidak perlu mengosongkan kerusi DUN kerana beliau menyertai Pas sebelum Akta Anti Lompat Parti diluluskan DUN Melaka pada 31 Julai 2023.

“Jika akta itu diluluskan selepas beliau bertukar parti, Muhamad Jailani tidak perlu mengosongkan kerusi kerana undang-undang itu berkuat kuasa untuk mereka yang belum menukar sokongan.

“Undang-undang itu akan mengenakan sekatan kepada mereka yang bertukar parti selepas ia diluluskan, bukannya kepada mereka yang bertukar parti sebelumnya. Oleh itu, Muhamad Jailani, tidak perlu melepaskan kerusinya,” katanya.

Bagaimanapun, kedudukan Muhamad Jailani mungkin akan terjejas sekiranya beliau gagal membuat pembayaran dan selepas itu diisytiharkan muflis.

Berdasarkan semakan Sinar Premium, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan untuk menjadi wakil rakyat jika dia diberikan Perintah Kebankrapan oleh mahkamah mengikut Perkara 48 (1) (b) dan (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, proses saman dan perbicaraan mahkamah dijangka mengambil masa lama dan ia berkemungkinan masih berlangsung sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Mengulas kenyataan Veteran UMNO Malaysia yang mendakwa Muhamad Jailani berhadapan tuduhan menipu Speaker dan melanggar janji parti yang boleh mengakibatkan beliau diheret ke mahkamah, Muhammad Fathi berpendapat tindakan itu boleh dikenakan namun ia juga tidak menggugat kedudukannya sebagai ADUN.

“Tuduhan menipu Speaker merupakan satu tindakan ke atas individu yang melakukan kesalahan seperti membuat tuduhan palsu terhadap penjawat awam.

“Muhamad Jailani mungkin boleh dikenakan tindakan disiplin di bawah peraturan dewan namun ia tetap tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai ADUN,” ujarnya.

**media[2734796]**

Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Parlimen mengumumkan Muhamad Jailani telah menyertai Pas berkuat kuasa pada 10 Jun, tahun lalu.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, kerusi DUN milik Kerajaan Negeri Melaka tidak perlu dikosongkan memandangkan undang-undang Anti Lompat Parti diluluskan pada 31 Julai 2023.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, Muhamad Jailani yang bertindak menyertai Pas secara senyap itu bakal diheret ke mahkamah selain perlu membayar denda RM100 juta.

Ia susulan perjanjian dan aku janji ditandatangani semua calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Melaka, PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

TINDAKAN WAJAR

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia, Dr Zaireeni Azmi berpandangan, tindakan saman sehingga RM100 juta terhadap Muhamad Jailani itu wajar dilakukan oleh parti.

“Saman itu adalah implikasi daripada tindakan yang beliau lakukan. Dari perspektif UMNO, saman sehingga RM100 juta wajar dikenakan terhadap beliau yang memungkiri janji taat setia kepada parti selepas bertanding dan menang di atas tiket UMNO.

“Sepatutnya setiap wakil rakyat perlu bertanggungjawab dengan kawasan yang dia menang. UMNO melihat perkara ini sebagai suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan diberikan oleh parti dan mandat yang dianugerahi oleh pengundi di kawasan itu,” katanya.

**media[2734848]**

Zaireeni berkata, Akta Anti Lompat Parti ini diwujudkan atas tujuan menjaga sebarang ketidakstabilan politik supaya tidak berlaku pengkhianatan kepada mandat yang diberikan daripada pengundi.

“Di Malaysia, majoriti pengundi masih memilih calon berdasarkan parti yang diwakilinya berbanding individu.

“Calon itu pula mesti sudah menandatangani persetujuan untuk menunjukkan taat setia kepada parti yang diwakilinya serta memenuhi syarat-syarat akur janji.

“Oleh itu, apabila beliau bertindak sebaliknya (dengan melompat parti secara bersembunyi), ia menunjukkan perilaku seorang pemimpin yang tidak wajar dicontohi.

“Jika mereka tidak beretika sebagai seorang wakil rakyat atau ahli politik, bagaimana rakyat hendak mempercayai akauntabiliti beliau sebagai seorang pemimpin?” ujar beliau.

Untuk rekod, Muhamad Jailani pernah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).