'Jauhi sifat menyerang antara satu sama lain' - Tengku Zafrul

SHAH ALAM - Ahli UMNO dinasihatkan untuk kekal bersatu padu dan jauhi sifat serang-menyerang antara satu sama lain.

Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, setiap ahli parti perlu menggunakan platform yang ada sebaik mungkin jika ingin mengkritik sesuatu perkara dan pastikan ia bersifat membina, bukan membinasakan.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, sudah tiba masanya untuk UMNO bangkit dan memperkukuhkan parti kerana rakyat sedang menilai.

“Saya sentuh kepentingan UMNO bersatu padu dan jauhi sifat hendak menyerang sesama sendiri.

“Sudah tiba masanya kita kuatkan UMNO kerana rakyat sedang menilai kita,“ katanya menerusi hantaran di Instagram pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM).

Untuk rekod, UMNO Lembah Pantai merupakan platform politik yang memperkenalkan Tengku Zafrul sebagai ahli parti pada 1998.