Manfaatkan cuti panjang untuk balik mengundi di Sungai Bakap

SUNGAI BAKAP - Pengundi luar diminta untuk memanfaatkan cuti panjang pada hujung minggu ini dengan pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu akan memastikan peratusan keluar mengundi meningkat berbanding peratusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.

"Kita berharap agar peratusan keluar mengundi tidak terlalu rendah jika dibandingkan dengan PRN yang lalu iaitu sebanyak 77 peratus.

"Kalau kita bandingkan PRK Kuala Kubu Bharu baru ini, peratusan keluar mengundi adalah 61 peratus dan ia menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus pada PRK baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di pusat media PRK Sungai Bakap di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, pengundi perlu rasional dalam memilih siapa wakil rakyat mereka pada Sabtu depan.

"Bila kita memilih calon yang kita ingin pangkah mestilah calon itu berada di pihak kerajaan negeri dan kerajaan Pusat kerana realiti dalam politik Malaysia, jika kita berada dalam kerajaan maka kita mudah untuk menyelesaikan masalah-masalah serta mendapatkan peruntukan.

"Jadi, kita kena berfikir secara rasional dan jangan hanya menggunakan sentimen semata-mata,” katanya.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.