'Solat hajat untuk Najib'

PASIR PUTEH - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebak mengenangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh Kali Ke-30 itu, beliau meminta semua pemimpin dan ahli parti melaksanakan solat hajat untuk Najib.

"Saya minta tolonglah solat hajat supaya Datuk Seri Najib diberi pengampunan. ALLAH SWT mendengar doa kita dan semoga ALLAH memakbulkan doa kita.

"Doa yang ikhlas pasti ALLAH akan terima," katanya.

Beliau memberitahu, tidak dapat menahan sebak setiap kali melawat bekas pemimpin itu.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berbangga dengan ahli UMNO seluruh negara kerana daripada laporan yang diterima bahawa sebanyak 21,000 cawangan di seluruh negara, tidak ada yang terbubar dan kehadiran perwakilan ke cawangan bertambah.

Beliau juga mahu semua ahli UMNO bersatu untuk merampas semula Dewan Undangan Negeri Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, Ogos depan.

"Kita sudah menerima senarai pendek calon yang akan bertanding di Nenggiri daripada Ketua UMNO Bahagian Gua Mudang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!