Manifesto mana berjaya 'tawan' hati pengundi Sungai Bakap

NIBONG TEBAL - Tepat 11.59 malam ini tamat tempoh 14 hari berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dan tumpuan kini terarah kepada 39,279 pengundi untuk menentukan sama ada kawasan itu kekal membawa suara pembangkang atau memilih bersama Kerajaan Perpaduan demi mencorak pembangunan yang lebih inklusif.

PRK itu, yang berlangsung pada Sabtu, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, dengan kedua-duanya merupakan anak tempatan.

Melihat perjalanan kempen sepanjang tempoh dua minggu ini, pendekatan kedua-dua calon boleh dikatakan tidak banyak berbeza dengan pelbagai program turun padang mendekati seramai mungkin pengundi dan memperkenal iltizam atau manifesto masing-masing untuk menawan hati pengundi.

Joohari tampil sebagai calon terawal melancarkan iltizam beliau yang menggariskan empat teras utama diambil daripada perkataan per-P.A.D.U-an iaitu P - Prasarana dan Progresif; A - Akhlak, Akademik Anak Muda; D - Damai; dan U - Untuk Semua.

**media[2715853]**

Abidin pula melancarkan manifesto empat hari sebelum tempoh kempen tamat dengan mengemukakan 15 tawaran yang menonjolkan akronim KERJA iaitu K mewakili khidmat kepada masyarakat, E - ekonomi dan peluang pekerjaan, R - rangkaian intrastruktur, J - jaminan mengutamakan masyarakat serta A - amanah dan integriti.

Kempen PRK DUN Sungai Bakap juga semakin menariknya dan mengetengahkan naratif politik matang apabila kedua-dua parti bertanding berkongsi padang yang sama dalam perlawanan persahabatan bola sepak selain calon masing-masing dilihat menekankan kempen secara sihat serta berakhlak tanpa sebarang provokasi dan serangan peribadi.

Mengulas peluang calon yang bertanding pada PRK itu, penganalisis politik Dr Ainul Adzellie Hasnul menyifatkan kedua-duanya 'sama hebat' namun di atas kertas, peluang Joohari untuk menang lebih tinggi berdasarkan latar belakang beliau yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan serta mengetengahkan visi dan misi yang selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau merupakan bekas guru dan dilantik sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara pada 4 April 2018 sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada 1 September 2023 manakala Abidin bertugas dalam bidang logistik dan adalah pembantu kepada penyandang kerusi DUN Sungai Bakap iaitu Allahyarham Nor Zamri Latiff.

"Joohari mungkin hebat dalam bidang pendidikan berbanding lawannya namun dari segi politik, beliau merupakan orang baharu. Ini berbeza dengan Abidin yang telah dikenali penduduk sewaktu menjadi pembantu penyandang dahulu. Ini kena diambil kira dalam mempengaruhi sentimen pengundi.

"Namun apa-apapun, Joohari punyai kelebihan kerana menteri-menteri di peringkat Persekutuan pun turun padang, jadi ada sinergi atau kekuatan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan bagi merampas kerusi itu daripada pembangkang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ainul Adzellie juga berkata, jika PH berjaya melakukan kejutan dengan memecahkan status quo bagi kerusi itu pada PRK esok, ia memberi isyarat bahawa sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan beliau semakin kukuh terutama dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-16.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, kedua-dua calon masing-masing mempunyai peluang untuk menang namun dengan naratif semasa yang terkait dengan poket rakyat, kelebihan mungkin berpihak kepada PN.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia juga tidak menutup peluang PH kerana naratif Melayu Islam yang dibawakan oleh lawan mereka sudah dilihat tidak lagi berada pada ‘peak’ yang tinggi sepertimana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 sekali gus mungkin menyumbang faktor penolakan kepada PN.

Memandangkan ini pilihan raya ketiga bagi penduduk Sungai Bakap selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN, Mujibu juga yakin pengundi sudah ada pilihan masing-masing, cuma perlu diberikan penerangan lebih jelas mengenai hala tuju parti yang bertanding.

"... tapi akhirnya, ia (kemenangan calon) juga bergantung kepada jumlah peratusan pengundi yang keluar mengundi. PRK ini selalunya turn out dia rendah. Paling tinggi boleh capai 60 peratus. Sekiranya kali ini 60 peratus dan dibanding dengan PRN lepas yang cecah 76 peratus maka peratusan itu sudah lari dalam 16 peratus.

"Jadi dalam hal ini, sudah tentulah kita akan lihat siapa yang dapat menguasai undi bukan Melayu dan undi atas pagar itulah boleh memperoleh kemenangan sebab ini adalah pertembungan satu lawan satu,” kata pensyarah kanan sains politik itu.

Kerusi DUN Sungai Bakap, yang mempunyai 39,279 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis, kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ini adalah PRK kelapan selepas PRU15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor). - Bernama

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.