Berhabis RM15,000 ubah suai 'food truck' jadi pentas bergerak

SUNGAI BAKAP - Seorang aktivis Pas sanggup menghabiskan duit hasil menjual cempedak goreng sebanyak RM15,000 semata-mata untuk mengubah suai kendera saji atau 'food truck' yang dijadikan pentas bergerak bagi membantu parti tersebut.

Mohd Safar Mat, 68, dari Sungai Buloh, Selangor berkata, kendera saji itu mula digunakan untuk membantu Pas sejak pilihan raya umum (PRU) tahun 1995 dan digerakkan setiap program utama di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, kendera saji itu juga digunakan setiap kali kempen pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Bakap di sini.

"Saya memandu sendiri ke Sungai Bakap ditemani anak untuk membantu calon Perikatan Nasional (PN) sempena PRK di sini.

"Minyak, tol (datang ke Sungai Bakap) guna peruntukan sendiri dan sumbangan orang ramai sebab Pas tidak beri apa-apa (peruntukan). Sepanjang saya berada di sini perbelanjaan sudah sekitar lebih RM2,000.

"Saya berniaga cempedak goreng di Taman Saujana Tiga dan kini bercuti selama dua minggu untuk membantu kempen PRK di sini," katanya semasa ditemui Sinar Harian di Taman Lima Kongsi membantu kempen calon PN, Abidin Ismail pada malam Selasa.

**media[2712631]**

Jelas Mohd Safar, dia hadir ke Sungai Bakap selepas diminta oleh parti untuk berbuat demikian dalam usaha membantu mengekalkan kemenangan yang diperoleh oleh Allahyarham Nor Zamri Latiff sebelum ini.

Menurutnya, sumbangan yang diterima daripada orang ramai dan juga badan bukan kerajaan (NGO) juga digunakan untuk membeli membeli kelengkapan seperti sistem audio dan pembesar suara yang diletakkan dalam kendera saji bagi kegunaan untuk berceramah.

"Saya tinggalkan perniagaan sebab arahan parti, kita kena ikutlah, sebab ini penting, berniaga itu dunia tapi saya bawa duit itu ke mari untuk bantu parti.

"Selepas selesai PRK ini, saya akan pulang untuk kembali berniaga dengan menggunakan kendera saji sama dengan membuang logo parti ini," ujarnya yang berasal dari Pendang, Kedah.

Tambah Mohd Safar, jika diarahkan oleh parti ke PRK Nenggiri di Kelantan pula, dia bersedia untuk membantu kempen di sana.

"Saya akan istiqamah dalam perjuangan ini bersama Pas yang saya sertai sejak tahun 70-an lagi.

"Perjuangan kita tidak mengharapkan duit dan ikhlas sebab itu kita kekal. Kalau yang mengharapkan duit, gaji, pencen dia terpaksa lompat sana-sini," katanya.

Menurutnya, kendera saji itu juga pernah digunakan untuk membantu kempen pemimpin yang kini telah berada dalam kerajaan seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail suatu ketika dahulu.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.