Pas berdepan saingan sengit di Sungai Bakap

BIARPUN nama calon bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap belum diumumkan, namun bahangnya semakin terasa berikutan timbul pelbagai spekulasi mengenai individu yang bakal menjadi sandaran kedua-kedua koalisi terbabit.

Perkara itu dihangatkan lagi dengan kenyataan Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa nama calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Sungai Bakap akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang mengesahkan PKR Pulau Pinang sudah menghantar senarai pendek nama tiga hingga lima tokoh kepada Presiden PKR untuk diangkat sebagai calon PH pada PRK Sungai Bakap nanti.

Difahamkan, antara nama tokoh yang tersenarai ialah Pengarah Insitut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, Nurhidayah Che Rose (bekas calon PH pada PRN lalu) dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap 2018-2023 merangkap Ketua Cabang PKR Nibong Tebal, Datuk Amar Pritpal Abdullah.

Malah, ada juga suara nakal mahukan bekas Naib Presiden PKR yang juga anak Perdana Menteri, Nurul Izzah diangkat menjadi calon PH susulan Sungai Bakap ialah tempat kelahiran Anwar.

Bagaimanapun, banyak pihak meramalkan Joohari bakal dipilih kerana beliau bukan hanya seorang berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan sebagai guru, malah dikatakan rapat dengan pimpinan kanan PKR Pusat dan negeri.

Manakala Pas Pulau Pinang pula sudah menghantar tiga nama untuk dipilih Dewan Syura Ulamak Pas sebagai calon termasuklah balu kepada Allahyarham mantan ADUN Sungai Bakap, Musalmah Yusop dan Setiausaha Pas negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Bagi Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, PRK kali ini bukan sekadar pertembungan dua calon semata-mata, sebaliknya kerusi DUN Sungai Bakap ialah pertarungan yang akan menentukan survival politik atau jatuh bangun koalisi parti Kerajaan Perpaduan dan pembangkang.

“Jika PN menang maka ia bermakna mereka masih utuh dan kekal mendapat sokongan rakyat serta tidak boleh dipandang ringan oleh koalisi PH dan gabungan parti membentuk Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

“Sebaliknya jika Pas gagal mengekalkan kerusi Sungai Bakap maka PH-BN akan memainkan sentimen dan naratif bahawa PN bukan hanya akan kalah, malah akan berkubur selepas PRU16 nanti,” katanya kepada Sinar Premium.

Menyentuh peluang Pas untuk mengekalkan status quo di kerusi Sungai Bakap, Mazlan menegaskan peluang masih ada biarpun dengan majoriti tipis bawah 1,000 undi susulan trend sokongan pengundi Melayu kepada PN dilihat masih berterusan dalam PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu.

Tegasnya, kemenangan Pas di DUN Sungai Bakap pada PRN lalu juga disebabkan oleh kebangkitan ‘gelombang hijau’ yang terlalu kuat berbanding PH manakala ramai penyokong kuat atau pengundi ‘putih’ UMNO berpaling tadah menyokong PN.

PELUANG 50:50

Pun begitu, PN tidak boleh terlalu yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap dalam PRK pada 6 Julai nanti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana PN dan PH memiliki peluang sama rata untuk menang kerusi yang ditinggal oleh Allahyarham Nor Zamri Latiff.

**media[2684647]**

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, berdasarkan rekod PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Allahyarham Nor Zamri hanya menang dengan majoriti 1,563 undi mengatasi Nurhidayah yang memperoleh 15,433 undian.

Tambahan pula, Tuan Ibrahim berkata, PH mungkin akan menggunakan sepenuhnya jentera Kerajaan Perpaduan bagi menawan kembali kerusi yang pernah dikuasai oleh PKR, sebelum ini.

“Biarpun kita dijangka menghadapi saingan sengit daripada PH namun saya percaya PN masih berpeluang mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap berdasarkan rekod perkhidmatan cemerlang ditunjukkan Allahyarham Nor Zamri sepanjang menjadi ADUN.

“Saya juga difahamkan pasukan bersama Allahyarham Nor Zamri juga sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik bagi menjaga kebajikan dan menyantuni masalah dihadapi penduduk setempat di DUN Sungai Bakap,” katanya.

SIAPA JADI CALON?

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian pula berkata, PH perlu bekerja keras untuk menang jika mereka mahu meletakkan Joohari sebagai wakil Kerajaan Perpaduan kerana beliau kurang dikenali ramai berbanding Iszuree yang pernah menjadi calon Pas di Parlimen Bayan Baru pada PRU14 lalu.

**media[2684645]**

Iszuree juga terkenal dalam kalangan ahli Pas kerana pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Lajnah Tanah Pas Pusat (2011-2019), Pengerusi Lajnah Tanah Pas Negeri Pulau Pinang (2011-2019) dan Yang Dipertua Pas Kawasan Bayan Baru (2015-2019).

“Kalau betul Joohari jadi calon, maka PH perlu bekerja keras untuk memperkenalkan kepada jentera parti dan pengundi DUN Sungai Bakap kerana beliau adalah muka baru dalam arena politik setempat, sama seperti dilakukan DAP bagi memperkenalkan Pang Sock Tao semasa kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu, sebelum ini.

“Kelebihan Joohari ialah kerana dia pernah menjadi guru dan dikenali sebahagian ibu bapa dan pelajar, guru serta penjawat awam di sekitar DUN Sungai Bakap,” katanya.

Bagaimanapun, Sivamurugan tidak menolak kemungkinan Joohari mampu mencipta kejutan membantu PH menawan kembali kerusi DUN Sungai Bakap jika beliau tidak mempunyai sebarang isu peribadi yang boleh digunakan pembangkang untuk melakukan tindakan pembunuhan karakter.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!