Petunjuk undi PN sudah tepu?

SHAH ALAM - Beberapa pengkaji politik tempatan mengunjurkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) memberi indikator undi diterima Perikatan Nasional (PN) hakikatnya sudah tepu.

Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Mohd Munir berkata, dengan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023 dianggap paling maksimum mampu diperoleh koalisi pembangkang itu, PN juga sebenarnya berdepan dilema sokongan pengundi muda sedikit terjejas sekalipun masih menguasai segmen itu.

Ujar beliau, kegagalan PN memujuk penyokong Barisan Nasional (BN) untuk mengalihkan sokongan semasa PRK pada 11 Mei lalu harus dipandang serius pucuk kepimpinan blok pembangkang itu sebagai satu kegusaran besar sekiranya mereka berhasrat untuk menawan kerusi-kerusi pilihan raya kawasan campuran pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Beliau turut berpandangan, pelaksanaan siri PRN dan PRK yang berterusan pasca PRU15 secara tidak langsung membantu Kerajaan Perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan BN memulihkan kembali keyakinan penyokong teras masing-masing.

**media[2651660]**

“Sokongan anak muda menyokong PN hakikatnya sedikit merosot dengan kaum Melayu sahaja cenderung ke arah mereka, berbanding anak muda Cina dan India yang kekal menyokong PH dan BN.

“Sebagai contoh, semasa PRU15 lalu, jumlah anak muda Melayu menyokong PN ialah 57 peratus, PH (23 peratus) dan BN (13 peratus). Namun, peratusannya merosot sebanyak dua peratus pada PRK ini berbanding PRU15.

“Bagi anak muda Cina dan India pula, sejumlah 60 hingga 80 peratus daripada mereka kekal menyokong PH pada PRK terutama di kawasan bandar,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Pada Ahad, IDE merumuskan, kejayaan PH mempertahankan kerusi Kuala Kubu Baharu disebabkan sokongan pengundi kategori umur 41 tahun ke atas terhadap kerajaan Madani.

PRK Kuala Kubu Bharu pada Sabtu lalu menyaksikan calon PH, Pang Sock Tao menang selepas dicabar tiga calon lain iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Khairul Ariffin bagaimanapun berkata, PN masih menjadi pilihan pengundi muda berumur 40 tahun ke bawah.

Jelasnya, PN memperoleh 63 peratus daripada undi berusia antara 18 dan 24 tahun walaupun peratusan keluar mengundi kelompok itu terendah iaitu sekitar 53 peratus.

Penyelidikan IDE mendedahkan, penurunan peratusan keluar mengundi pada PRK sebanyak 7.7 peratus berbanding PRU15, sebenarnya adalah lebih tinggi jika dibandingkan kadar penurunan peratusan keluar mengundi pada PRN 2023 berbanding PRU15.

**media[2651662]**

NARATIF SEMAKIN MELEMAH

Khairul Ariffin tidak menolak kemungkinan faktor undi PN diunjurkan semakin tepu disebabkan naratif politik identiti yang dimainkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah, katanya, ia dijangka semakin melemah sekiranya Kerajaan Perpaduan berterusan memperbaiki prestasi pentadbiran mereka menjelang PRU16.

Beliau berpendapat, kegagalan PN memujuk lebih ramai pengundi teras UMNO dan BN untuk beralih sokongan kepada mereka turut menyumbang kepada ketepuan undi mereka.

“Secara jelas, formula PN untuk merampas kerusi-kerusi pilihan raya campuran seperti KKB adalah dengan mengekalkan sokongan pengundi Melayu terutama orang muda, mengharapkan kaum Cina tidak keluar mengundi selain peralihan sokongan pengundi kaum India dan orang UMNO yang kecewa dengan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Namun, di sebalik kritikan diterima kerajaan di peringkat nasional, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Kabinet secara perlahan-lahan meraih momentum sokongan pengundi Melayu terutama penjawat awam dan mengekalkan sokongan bukan Melayu.

“Ini hasil pendekatan mereka memberi pelbagai insentif dan manfaat kenaikan gaji kepada sektor kakitangan kerajaan, manakala UMNO-BN pula sudah mula berjaya menyekat peralihan sokongan pengundi tegar mereka daripada terus berpaling kepada PN,” katanya.

**media[2651661]**

Sementara itu, Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata, PN tidak boleh terlalu yakin sokongan pengundi muda akan terus kekal memihak kepada mereka menjelang PRU16 sekiranya naratif politik identiti masih menjadi modal politik koalisi itu.

Ujarnya, dengan informasi di media sosial sentiasa kritikal terhadap kerajaan di samping semangat ‘anti establishment’ yang sering wujud dalam jiwa orang muda, PN mungkin selesa dengan tahap semasa sokongan segmen kelompok itu.

“Bagaimanapun, PN perlu sedar faktor sokongan pengundi muda tidak akan menjadi penentu kemenangan mereka di kawasan-kawasan pilihan raya bersifat campuran terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu bawah 60 peratus.

“Ini kerana pada saat ramai melihat sentimen politik negara masih ditentukan menerusi naratif politik perkauman dan emosi, rangka kecenderungan politik negara secara konsisten semakin beralih kepada acuan metropolitan.

“Acuan metropolitan bermaksud majoriti pengundi Malaysia yang mewakili kumpulan sederhana dan lebih berpelajaran sudah buka mata memahami sentimen politik seharusnya dilihat dari sudut ekonomi, polisi negara dan materialisme. Bukan politik identiti,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!