SUNGAI BESAR - Parlimen Sungai Besar bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Budiman Mohd Zohdi, Bersatu yang mewakili Pakatan Harapan (Harapan), Muslimin Yahaya dan Pas, Mohamed Saleh M Husin pada PRU14.
Budiman, 46, yang juga penyandang kerusi Parlimen tersebut tiba di Pusat Penamaan Calon Parlimen Sungai Besar pada jam 8.45 pagi dengan diiringi pencadang, Mohd Masloro Abdullah dan penyokong, Lim Chang Huat.
Manakala, Muslimin, 51, yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, tiba pada jam 8.30 pagi bersama pencadang, Hasnizam Adham dan penyokong, Mohd Asyraf Basri.
Mohamed Saleh, 70, pula tiba pada jam 8.40 pagi dengan diiringi pencadang, Mohd Nazri Sarbini dan penyokong, Sansuri Karim.
Pada PRU13 lalu, kerusi Parlimen Sungai Besar dimenangi BN menerusi Allahyaram Tan Sri Noriah Kasnon selepas memperoleh majoriti 399 undi menewaskan Mohamed Saleh yang sekali lagi dipertaruhkan Pas pada PRU14 kali ini.
Bagaimanapun, kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan kematian Noriah yang terkorban dalam nahas helikopter AS 350 berdekatan dengan Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
BN mengekalkan kerusi itu menerusi calon mereka, Budiman yang sebelum ini menang di kerusi Dun Sungai Panjang pada PRU13 lalu.
Kerusi Dun Sungai Panjang pula menyaksikan BN menampilkan calon muka baharu iaitu, Datuk Mohd Imran Tamrin, 32.
Mohd Imran, bakal ditentang calon Parti Amanah Negara (Amanah), Mariam Abdul Rashid, 57, dan Pas diwakili Mohd Razali Saari, 36.
Sementara Dun Sekinchan pula menyaksikan penyandang sejak tiga penggal lalu dari DAP mewakili Harapan, Ng Suee Lim, 48, mempertankan kerusi terbabit.
Suee Lim bakal ditentang calon muda BN iaitu, Lee Yee Yuan, 29 dan calon Pas, Mohd Fadzin Taslimin, 69.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sungai Besar, Khairuddin Md Som, mengendalikan proses penamaan calon yang dibuka mulai jam 9 pagi hingga 10. 00 pagi di Dewan Seri Bernam, di sini.