Hari ditunggu telah tiba...

HARI dinanti telah tiba dan dijangka semua rakyat Malaysia akan tertumpu kepada hari permulaan PRU14 hari ini.
Semua ahli parti termasuk penyokong berkumpul awal pagi di setiap lokasi Pusat Penamaan Calon di seluruh negara dan yang pasti kerusi-kerusi panas melibatkan pertembungan tiga penjuru BN, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera akan mencuri tumpuan.

Bagi petugas parti termasuk calon hari ini adalah hari penting di mana terdapat beberapa dokumen utama perlu disediakan termasuk siapa pencadang, siapa penyokong, siapa wakil calon?

Kesemua calon perlu mengenal pasti siapa pencadang, siapa penyokong malah siapa wakil calon dan kesemua mereka ini perlulah sama ‘bersih’ seperti calon.

Antara syaratnya ialah tidak muflis dan mereka perlu mendapat pengesahan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Perkara ini perlu diambil kira dan diteliti bagi melengkapkan borang pencalonan sebelum seseorang itu boleh disahkan untuk bertanding, hari ini.

Ini termasuklah wang deposit yang perlu diselesaikan iaitu bagi calon Dun deposit sebanyak RM5,000 manakala calon Parlimen, RM10,000.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata bagi proses penamaan calon PRU14 hari ini, tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.

“SPR mengingatkan bakal calon yang hendak membayar Deposit Pilihan Raya, iaitu RM10,000 (Parlimen) dan RM5,000 (Dun) boleh berbuat demikian secara draf bank atau tunai.

“Bayaran boleh dibuat sebelum hari penamaan calon dan perlu membawa resit berkenaan pada hari penamaan itu sebagai bukti bayaran,” katanya.

Mohd Hashim berkata, bakal calon yang bertanding mewakili parti politik dan simbol parti itu yang sudah berdaftar dengan SPR juga diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada seorang pegawai parti yang bertanggungjawab membenarkan untuk penggunaan simbol parti berkenaan.

Diharap proses penamaan calon dan kegiatan berkempen akan berjalan lancar dan tidak mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Penyokong parti yang hadir hari ini perlu mengekalkan budaya politik matang dan sihat serta mengelakkan sebarang provokasi terhadap calon atau penyokong parti lawan.

Mengikut Seksyen 24A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) memperuntukkan mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon iaitu memberi, membekalkan alat muzik/pembesar suara atau menggunakannya sendiri bagi tujuan dakyah politik dengan apa-apa cara atau digunakan di dalam atau di atas vesel, haiwan atau kenderaan.

Perlu menunggu atau berdiri dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini, mereka boleh disabitkan, dipenjarakan tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan dan kedua-duanya.

Hari ini juga adalah hari penentuan bagi calon kerana walaupun watikah calon telah diberikan, setiap individu yang bertanding tidak akan disahkan sebagai calon pilihan raya selagi mereka tidak disahkan semasa hari penamaan calon.

Malah, masih ada strategi yang boleh digunakan pihak lawan bagi menidakkan status pencalonan terutamanya membabitkan pengisian borang dan dokumen yang tidak lengkap.

Aapa yang pasti hari ini adalah hari yang sangat penting kerana segalanya yang diumumkan sebelum ini mungkin boleh berubah Sabtu ini,

Pucuk pimpinan parti mungkin akan melakukan pertukaran di saat akhir berdasarkan beberapa faktor termasuk masalah berkaitan dokumen calon yang bertanding.

Dokumen ini penting kerana pihak lawan boleh menang tanpa bertanding jika kesemua calon parti yang lain tidak menepati dokumen yang ditetapkan SPR.

Selain itu, faktor sokongan dan protes ahli akar umbi juga turut diambil kira kerana ini akan menentukan sama ada calon tersebut akan dibantu dalam kempen atau tidak.

Sama-samalah kita nanti pengumuman rasmi dari pegawai SPR yang bertugas di setiap Pusat Penamaan Calon tepat pada jam 10 pagi ini.

Bn Pakatan Harapan Gagasan Sejahter
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :