SEMENYIH - Kain rentang milik calon Bebas PRK DUN Semenyih, Kuan Chee Heng sekali lagi didapati dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
Chee Heng yang turut dikenali sebagai 'Uncle Kentang' berkata, insiden itu disedarinya pada jam 9 pagi tadi ketika membuat pemantauan di sekitar pekan Semenyih.
Menurutnya, dia percaya perbuatan khianat itu bukan dilakukan penduduk Semenyih.
"Bukan kerja orang Semenyih tapi kerja orang takut kalah dan orang politik takut pengundi Semenyih memilih calon yang bekerja.
"Sedih banner (gegantung) saya kebanyakan di musnahkan. Hidup rakyat Semenyih," muat naiknya dalam status Facebook miliknya pagi tadi.
Sabtu lalu Chee Heng mendakwa dua kain rentang kempen memaparkan wajah dan nombor telefonnya yang digantung di Jalan TTS 2/1, Taman Tasik Semenyih rosak dipercayai akibat perbuatan khianat.
Katanya, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas itu.
“Saya tak pasti siapa buat kerja ni namun tak tolak kemungkinan ia ‘kerja’ orang politik," katanya.