KUALA KURAU - Calon PKR-Harapan Dun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari secara sinis 'berterima kasih' kepada penyokong parti tertentu yang bertindak mengedarkan risalah memburukkan dirinya sebagai penyandang Dun Kuala Kurau sejak awal pagi tadi.
Menyifatkan tindakan itu sebagai 'membantu' kempen pilihan rayanya, Abdul Yunus menyedari perbuatan itu apabila menjumpai sebahagian besar risalah berkenaan diletakkan di hadapan rumahnya pagi tadi.
Menurutnya, risalah itu turut memaparkan hantaran mesej di laman Facebook peribadinya yang mengkritik tindakan wakil rakyat BN memberi 'anak ayam' dan 'dedak' kepada penerima bantuan pertanian di Parlimen Bagan Serai.
"Selain itu, risalah itu turut menuduh saya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat apabila tidak membawa sebarang pembangunan kepada rakyat Dun Kuala Kurau dan gagal menyelesaikan isu perselisihan antara nelayan pukat kenka dan tradisional.
"Bagi saya, dakwaan dikemukakan sebenarnya ibarat meludah ke muka mereka sendiri memandangkan kegagalan pembangunan di Dun Kuala Kurau terletak di atas kesalahan kerajaan BN yang mentadbir Perak.
"Bagi isu perselisihan antara nelayan pukat kenka dan tradisional, polisi undang-undang berkaitan bidang perikanan adalah di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani(MOA) yang diselia kerajaan BN sendiri,"katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Abdul Yunus turut menempelak taktik kotor parti tersebut dengan memburukkan calon parti lawan sewaktu berkempen sepanjang PRU14.
Menurutnya, sikap itu sama sekali bertentangan dengan pesanan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang menasihati semua parti berkempen secara sihat dan berhemah.
"Sikap itu juga membuktikan keterdesakan penyokong parti tersebut yang dilihat terpaksa menggunakan pendekatan serangan fitnah ke atas calon parti lawan.
"Saya tidak terkesan dan sekali lagi 'berterima kasih' kepada pihak berkenaan yang sudi 'tolong' berkempen untuk saya. Sekurang-kurangnya saya jimat duit untuk buat risalah kempen," katanya secara berseloroh.