Asas perjuangan Bersatu tetap jelas - MP Tanjong Karang

SHAH ALAM - Asas perjuangan dan hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kekal jelas dan tidak tergugat walaupun kini berdepan kemelut dalaman parti.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menyifatkan situasi sedang berlaku dalam Bersatu merupakan satu proses pendewasaan politik yang lumrah dalam mana-mana parti.

Beliau berkata, perbezaan pandangan itu tidak semestinya membawa perpecahan, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk ahli-ahli menilai semula hala tuju dan kekuatan parti.

“Bagi saya sebagai mantan ahli Bersatu, asas perjuangan Bersatu tetap jelas iaitu membela rakyat, memperjuangkan keadilan sosial dan memastikan suara orang Melayu serta rakyat luar bandàr terus terbela.

“Dalam keadaan sekarang saya kekal fokus amanah sebagai seorang Ahli Parlimen Tanjong Karang dan yakin kepimpinan parti akan mengambil keputusan terbaik demi masa depan Bersatu dan kestabilan politik negara,” ujarnya.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen telah dipecat daripada Bersatu kerana secara terbuka menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam ahli Parlimen itu termasuklah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Bagaimanapun, pandangan berbeza disuarakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang menyifatkan konflik dalaman Bersatu berkenaan telah dijangka sejak awal.

Menurutnya, enam ahli yang terlebih awal menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri adalah kerana sudah lama menjangkakan Bersatu akan berlaku konflik kepimpinan dalam penggal ke-15.

Beliau turut berpandangan bahawa berpandangan konflik dalaman Bersatu akan semakin memuncak menjelang penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hampir dua minggu lagi.