KJ bakal muncul dalam program Pemuda UMNO

SHAH ALAM - Bekas pemimpin dan ahli UMNO yang dipecat, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bakal muncul dalam program anjuran Pemuda UMNO menguatkan lagi spekulasi beliau akan kembali ke pangkuan parti itu tidak lama lagi.

Khairy bakal muncul sebagai panel dalam program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN 1.0) di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur pada 7 November ini.

Program bertemakan Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman AI dan Pemerkasaan Institusi Guru itu diumumkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam akaun Facebook beliau pada Jumaat.

Ia turut menampilkan bekas Menteri Pendidikan, Profesor Dr Maszlee Malik dan Akmal Salleh sebagai ahli panel bersama Khairy, manakala Mohammad Sollehin Mohamad Tajie sebagai moderator.

Sebelum ini sumber yang rapat dengan Khairy mengesahkan hasrat bekas Ahli Parlimen Rembau itu untuk kembali menyertai parti itu di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah gambar pertemuan antara beliau dan Ahmad Zahid semasa menghadiri majlis perkahwinan anak Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman tular di media sosial.

Difahamkan, Ahmad Zahid juga meminta supaya Khairy untuk menghantar borang keahlian untuk kembali menjadi ahli parti itu semula selepas dipecat pada Januari 2023, kerana kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU ke-15.

Dalam pada itu, Akmal Salleh berkata, panel-panel dibawa untuk program RIMBUN 1.0 hebat dan memiliki kepakaran untuk mengupas isu pendidikan.

"Bukan calang-calang orang kita bawakan. Maka jangan hanya sembang di kedai kopi dan Facebook sahaja,saya jemput untuk kita berdiskusi dan berkongsi idea untuk masa depan sistem pendidikan negara kita yang lebih baik.

"Kita jumpa pada 7 November 2025 di Auditorium UMNO Menara Dato Onn jam 8 pagi. Masa depan pendidikan negara adalah masa depan negara kita," ujarnya lagi.

Selain itu, tiga lagi tokoh yang ditampilkan ialah Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Naib Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Datuk Mohd Sharizal Semsuddin pada sesi pertama bertajuk Permerkasaan Institusi Guru.