Isu perdaganagan Malaysia-AS: Kerajaan perlu adakan taklimat khas - Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa kerajaan supaya mengadakan taklimat khas di Parlimen berhubung isu perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa melibatkan komitmen pembayaran besar kepada negara kuasa dunia itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, langkah itu penting bagi menjelaskan dakwaan yang timbul selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mendakwa Malaysia perlu membayar hingga RM1 trilion untuk membeli barangan dari AS, hasil perjanjian yang ditandatangani sempena lawatan presiden negara itu, Donald Trump ke Malaysia baru-baru ini. 

Menurut Puad, isu berkenaan tidak boleh dibiarkan berlegar di ruang awam tanpa penjelasan rasmi kerana ia melibatkan kepentingan ekonomi negara dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur.

"Banyak yang diperkatakan mengenai isu perdagangan Malaysia-Amerika yang di tandatangani sempena kehadiran Trump ke Malaysia. Hassan Karim buat dakwaan di Parlimen, Malaysia perlu bayar RM1 Trillion untuk membeli barangan Amerika.

"Benarkah? PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu buat sesi Taklimat Khas sama seperti yang dibuat apabila menjelaskan isu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di mana Kerajaan Pusat perlu bayar 40 peratus hasil cukai kepada Sabah. Setidak tidaknya Tengku Zafrul kena jawab segera," katanya menerusi Facebook pada Rabu.

Pada Selasa, Hassan Karim dilaporkan menzahirkan kekesalan terhadap tindakan kerajaan yang didakwa menandatangani perjanjian berhubung Jual Beli (SPA) gas asli cecair (LNG) dengan Amerika Syarikat (AS) semasa lawatan Presiden AS Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN.