SHAH ALAM – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan baharu Perikatan Nasional (PN) Pahang selepas beliau digugurkan daripada jawatan tersebut.
Saifuddin berkata, sokongan itu dinyatakan ketika menghubungi Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilantik sebagai Pengerusi PN negeri yang baharu berkuat kuasa pada Selasa.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man atas pelantikan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Pahang, menggantikan saya.
“Walaupun saya bukan lagi Pengerusi PN Pahang, saya ingin menawarkan agar Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota terus digunakan sebagai Pejabat Sekretariat Wakil-Wakil Rakyat PN Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Saifuddin, pelantikan Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas dilihat sebagai satu langkah penyelarasan baharu dalam struktur kepimpinan PN Pahang.
“Saya yakin pelantikan beliau sebagai Pengerusi PN Pahang, dan sebelum ini pelantikan Datuk Abdul Khalib Abdullah sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Pahang, adalah sebahagian daripada proses penampilan wajah-wajah baharu bagi memperkukuh lagi PN Pahang dalam merealisasikan matlamat ‘PN Teraju Pahang’,” ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pengguguran Saifuddin bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli daripada jawatan Pengerusi PN negeri.
Mohd Shukri digantikan oleh Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.