Farhash saman Rafizi RM10 juta kes dua video fitnah

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman fitnah terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung dua video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.

Memetik laporan The Edge, saman itu difailkan pada 10 Oktober lalu melalui Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co selepas Rafizi didakwa gagal memohon maaf terhadap penyiaran dua video berunsur fitnah terhadapnya.

Video pertama dimuat naik pada 25 Julai, manakala video kedua disiarkan pada 20 Ogos lalu.

Dalam tuntutan itu, Farhash yang juga bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, selain ganti rugi teruk, teladan, punitif serta kos guaman.

Farhash berkata, isu itu bermula selepas dakwaan tular kononnya syarikat miliknya, Bumi Suria Sdn Bhd, memperoleh lesen perlombongan arang batu di Sabah.

Katanya, dakwaan itu tidak benar dan telah dinafikan oleh beliau serta Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, sebelum laporan polis dibuat bagi menafikan tuduhan tersebut.

Beliau turut memfailkan saman terhadap beberapa media yang menyiarkan laporan palsu berhubung perkara sama.

Menurut Farhash, video pertama bertajuk “Tangani Isu Farhash Elak Jadi Beban Lebih Besar Pada Kerajaan” dimuat naik Rafizi di TikTok dan YouTube pada 25 Julai lalu, disifatkan sebagai serangan peribadi terhadapnya.

Katanya, beliau dijadikan kambing hitam bagi kepentingan politik Rafizi memandangkan pernah menjadi setiausaha politik kepada Anwar.

Video kedua bertajuk “Bukan Ismail Sabri, bukan KJ” yang disiarkan pada 20 Ogos pula, mengaitkan dirinya dengan insiden serangan jarum terhadap anak Rafizi berdasarkan dakwaan daripada seorang individu yang digelar 'pemberi maklumat'.

Pada 22 Ogos, peguam Farhash turut menghantar surat tuntutan kepada Rafizi supaya memohon maaf dan memadam video berkenaan dalam tempoh 48 jam, namun tiada tindakan diambil.

"Dua video itu merupakan serangan terhadap reputasi dan nama baik saya hingga menimbulkan kebencian masyarakat, walaupun saya telah banyak menyumbang dalam dunia perniagaan," katanya.

Farhash yang juga Pengerusi Eksekutif Apex Equity Holdings Bhd, Pengarah Berjaya Construction Bhd dan Ahli Lembaga Penasihat Yayasan Usahawan Malaysia berkata, tuduhan tersebut menjejaskan keyakinan pelabur serta rakan niaga terhadap dirinya.

"Pelabur, rakan kongsi dan pemain industri hilang kepercayaan terhadap saya, apatah lagi saya pernah menjadi setiausaha politik kepada Perdana Menteri serta memegang jawatan pengarah dalam beberapa syarikat tersenarai awam,” ujarnya.

Beliau berkata, kenyataan Rafizi bukan sahaja menjejaskan kredibilitinya dalam dunia perniagaan, malah mencalar maruah peribadi dan profesionalnya.

Terdahulu, pada 9 September lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Farhash tidak terbabit dalam sebarang salah laku berkaitan dakwaan terhadap syarikatnya.

Kes berkenaan telah disebut untuk pengurusan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K Vasugi.