ROS perlu siasat dakwaan ‘silap mata’ dalam pemilihan Bersatu - Mahathir

SHAH ALAM – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan manipulasi dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa mencemarkan proses demokrasi dalaman parti itu.

Bekas Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais berkata, dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa berlaku ‘silap mata’ dalam pemilihan baru-baru ini sebenarnya bukan sekadar retorik politik.

Menurut Mahathir, dakwaan itu melibatkan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang didakwa membatalkan kemenangan calon seperti Akmal Zahin Zainal Zahir di beberapa bahagian sehingga menimbulkan persoalan sama ada proses berkenaan benar-benar telus.

“Maklumat yang diterima daripada ahli di pelbagai bahagian termasuk Selangor dan Wilayah Persekutuan turut membangkitkan kebimbangan serius apabila wujud kes ahli tidak hadir tetapi ‘diwakilkan’ oleh individu lain bagi mencukupkan korum mesyuarat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jelasnya, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemar integriti pemilihan parti, malah menghakis keyakinan ahli terhadap kepimpinan yang dipilih.

Sehubungan itu, beliau menggesa ROS melakukan semakan ke atas senarai kehadiran, perjalanan mesyuarat dan semua dokumen berkaitan bagi memastikan pemilihan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil jika terbukti wujud pemalsuan atau manipulasi dokumen pemilihan,” tegasnya

Mahathir berkata, isu berkenaan amat serius kerana berkait rapat dengan asas kepercayaan dan legitimasi kepimpinan yang lahir daripada proses pemilihan parti.

“Jika pemilihan hanya sah di atas kertas, maka kesahihan keputusan dan mereka yang terpilih juga wajar dipersoalkan,” ujarnya.

Beliau menegaskan ketelusan perlu ditegakkan bagi menjaga integriti sistem politik negara dan memastikan demokrasi parti tidak sekadar menjadi slogan.

Pemilihan Armada Bersatu yang diadakan pada Oktober tahun lalu didakwa berlaku manipulasi selepas keputusan awal undian bagi jawatan Ketua Armada tidak memihak kepada Muhammad Hilman Idham yang kini menyandang jawatan tersebut.

Wan Ahmad Fayhsal dalam Sinar Harian minggu lalu mendakwa, berdasarkan penjumlahan undi sebenar, Muhammad Hilman sebenarnya tewas kepada pencabarnya, Akmal Zahin pada pemilihan Armada Bersatu.

Bagaimanapun, dakwanya, ‘silap mata’ berlaku selepas JPP membatalkan keputusan beberapa bahagian yang memihak kepada Akmal Zahin.