SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa bahawa MIC memutuskan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada November depan.
Pendedahan itu dimaklumkan menerusi hantaran video di akaun TikTok milik Tajuddin pada Selasa.
Tajuddin mendakwa perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika sambutan perayaan Deepavali di kediamannya pada Isnin.
“Dia (Saravanan) beritahu saya bahawa MIC mungkin akan keluar daripada BN bulan depan.
“Saya tanya kenapa, dia ada beritahu ada beberapa perkara yang menyebabkan mereka tidak berpuas hati, tetapi saya tidak boleh sebutkan di sini kerana perkara itu sensitif dan sulit,” katanya pada Selasa.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa BN tidak pernah memaksa mana-mana parti komponen untuk kekal atau keluar daripada gabungan tersebut.
Menurutnya, keputusan sama ada untuk terus bersama BN atau menyertai gabungan lain merupakan hak setiap parti komponen.
Pada Ahad, Saravanan berkata, MIC akan memuktamadkan keputusan berhubung masa depan dalam BN serta mempertimbangkan pelawaan menyertai Perikatan Nasional (PN) pada Perhimpunan Agung parti itu yang dijadualkan berlangsung November ini.
Menurut Tajuddin, beliau berharap Saravanan mempertimbangkan semula keputusan berkenaan memandangkan MIC telah lama bersama gabungan tersebut.
“Kita telah mengharungi suka duka bersama dalam politik Malaysia ini. Banyak sumbangan MIC terhadap kemajuan dan pembangunan negara serta kepada rakyat di negara ini.
“Saya nasihatkan beliau supaya mempertimbangkan semula keputusan itu. Beliau nampak bertegas.
“Bagaimanapun, mungkin beliau akan mendapat petunjuk dan hidayah, saya harap begitu supaya MIC tetap kekal bersama BN,” ujarnya.