PRN Sabah: Rundingan kerusi GRS–PH sudah dicapai – Hajiji

KOTA KINABALU - Rundingan pembahagian kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah dicapai menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat, namun pengumuman rasmi hanya akan dibuat pada masa yang sesuai.

“Jangan susah. Sebenarnya sudah, tapi kita tidak boleh umum awal betul. Bilangan kerusi pun sudah ada.

“Jadi kalau pun ada, mungkin satu dua kerusi saja lagi. Saya anggap itu sebagai rundingan yang sudah mencapai persetujuan antara kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan wujud isu dalaman antara GRS dan PH susulan gabungan itu dikatakan belum memuktamadkan pembahagian kerusi.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis pelancaran tersebut, beliau meminta semua jentera pilihan raya di peringkat cawangan, pusat daerah mengundi (PDM) dan bahagian supaya bekerja keras sehingga ke hari pengundian.

“Pelancaran jentera ada yang sudah dibuat, ada yang dilancarkan sendiri. Sudah lama, tetapi ini secara rasmi.

“(Momentum jentera) saya nampak tadi cukup bersemangat, begitulah politik. Masing-masing berusaha memastikan kemenangan. Insya-Allah, kita yakin dengan kemampuan GRS untuk berdepan pilihan raya ini dan sekali lagi diberi kepercayaan oleh rakyat Sabah,” katanya.