Calon payung terjun tidak selari realiti politik Sabah?

SUHU politik di Sabah semakin hangat menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat ini apabila satu demi satu kejutan berlaku, sekali gus mencerminkan tugas getir perlu digalas oleh semua parti bertanding.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu yang dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 6 Oktober lalu juga membuka tirai perebutan kuasa yang dijangka sengit, bukan sahaja antara blok kerajaan dan pembangkang tetapi dalam kalangan parti komponen sendiri.

Antara kejutan paling awal berlaku apabila Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bergerak solo pada PRN ke-17 (PRN17) Sabah.

Tidak terhenti di situ, timbul pula dakwaan mengenai ketegangan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat cabang apabila sebahagian pihak tidak berpuas hati terhadap campur tangan kepimpinan pusat dalam menentukan jentera serta calon parti.

Isu berkenaan dikatakan berpunca daripada pemilihan beberapa individu yang didakwa akan diletakkan sebagai calon dalam PRN akan datang, termasuk bekas ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar, yang sebelum ini pernah bersama UMNO dan Parti Warisan (Warisan) sebelum menyertai PKR.

Turut disebut sebagai antara nama calon ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, serta bekas Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang juga anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Terbaharu, penyandang kerusi DUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon mengambil keputusan keluar daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan keputusan sama turut dibuat bekas Setiausaha Organisasi DAP Sabah, Liau Fui Fui.

Menurut kedua-dua pemimpin itu, keputusan berkenaan tidak dibuat secara tergesa-gesa tetapi menilai dengan teliti pelbagai perkembangan dalaman parti sejak kebelakangan ini termasuk tindakan tersirat daripada kepimpinan tertentu yang menunjukkan wujudnya agenda tersembunyi untuk menggantikan kepimpinan sedia ada di Tanjong Papat tanpa sebarang rundingan atau perbincangan rasmi.

Melihat perkembangan semasa, PRN Sabah kali ini dijangka berlangsung sengit dengan menyaksikan pertandingan lebih tiga penjuru di kebanyakan kawasan susulan beberapa kejutan yang berlaku.

Berdasarkan beberapa kontroversi yang membabitkan parti komponen kerajaan Pusat itu, pemerhati politik berpandangan situasi berkenaan memberi isyarat PRN kali ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi bakal menjadi penentu hala tuju politik Sabah untuk lima tahun akan datang.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi, situasi politik semasa di Sabah memperlihatkan landskap politik yang semakin kompleks dan berpecah, sekali gus menggambarkan wujudnya keresahan serta ketidaksefahaman dalam kalangan parti tempatan terhadap hala tuju gabungan tersebut.

Mengambil contoh ‘gelora’ yang tercetus dalam PKR Sabah susulan wujud dakwaan campur tangan Pusat dalam menentukan calon yang bertanding di negeri berkenaan, beliau berkata, perspektif hubungan negeri dan Pusat sering berdepan dilema.

“Campur tangan ini lazimnya berlaku dalam bentuk penentuan strategi pilihan raya, pemilihan calon dan pembahagian kerusi antara parti. Walaupun ia dilihat sebagai langkah penyelarasan strategi politik nasional, di Sabah ia sering dianggap mencabar identiti politik tempatan yang menuntut ruang membuat keputusan sendiri.

“Maka, krisis dan kejutan yang berlaku kini sebahagiannya berpunca daripada ketegangan antara kehendak tempatan dan kehendak pusat yang gagal diseimbangkan secara harmoni,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, fenomena calon payung terjun bukan sesuatu yang baharu dalam politik Malaysia, namun di Sabah isu ini sering mencetuskan kontroversi.

Hussain Yusri menambah, rasional utama di sebalik tindakan kepimpinan pusat untuk meletakkan calon sedemikian ialah bagi memastikan parti diwakili oleh individu yang dianggap mempunyai nilai kebangsaan, jaringan politik yang lebih luas dan kredibiliti yang diiktiraf oleh pimpinan tertinggi.

“Namun begitu tindakan ini sering dilihat tidak selari dengan realiti politik tempatan Sabah yang sangat berakar pada hubungan komuniti, kepercayaan etnik dan pengaruh kepimpinan setempat.

“Calon payung terjun kerap dianggap sebagai simbol campur tangan luar yang menafikan hak autonomi cabang negeri dalam menentukan calon terbaik.

“Maka, walaupun langkah ini mempunyai rasional strategik dari sudut pengurusan parti di peringkat nasional, secara praktikal ia berisiko melemahkan semangat akar umbi dan menimbulkan persepsi bahawa parti gagal memahami sensitiviti politik tempatan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, semua parti yang terlibat dengan kontroversi atau krisis perlu menyelesaikan segera perkara berbangkit sekiranya ingin memenangi pilihan raya yang dijangka berlangsung sengit kali ini.

Sementara itu, bekas Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR, Iswardy Morni berkata, parti berdepan situasi sukar untuk mempertahankan kerusi sedia ada atau menambah kemenangan sekiranya isu calon payung terjun tidak diurus dengan teratur.

Ini kerana katanya, meskipun pemilihan calon calon terjun bukan sesuatu yang baharu tetapi kesan tindakan balas ahli akar umbi perlu diberi perhatian serius bagi memastikan tidak berlaku protes dalam kalangan ahli pada pilihan raya nanti.

“Kepimpinan PKR sebelum ini mengumumkan kita akan bertanding 13 kerusi tetapi saya rasa jumlahnya mungkin kurang lagi dengan mengambil kira rundingan kerusi masih berjalan dengan semua parti yang akan kita bekerjasama.

“Masalah sekarang bukan kerana kita tidak cukup jentera atau calon tetapi kerana pendirian kita untuk beri laluan kepada GRS dan UMNO-BN. Sekarang ini kita telah banyak kompromi dengan parti dalam kerajaan hingga mencetuskan rasa tidak puas hati akar umbi.

“Kita juga perlu ingat, pilihan raya lalu, PKR hanya menang dua kerusi di Sabah. Kali ini kita risau hendak mempertahankan dua kerusi ini pun agak payah kalau di peringkat akar umbi kita tidak kuat atau ahli sendiri tolak kita nanti. Ini yang kita perlu ingat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai parti atau gabungan yang dijangka mendapat kelebihan kesan daripada kemelut yang berlaku ini, Iswardy berkata, Warisan mempunyai keuntungan politik tersebut.

Ini kerana katanya, parti yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu tidak terikat kuat dengan pengaruh Pusat, selain sering menggunakan naratif ‘Sabah untuk orang Sabah’ yang mendapat fenomena kuat dalam kalangan pengundi yang semakin skeptikal terhadap penguasaan politik Kuala Lumpur.

“Keputusan Warisan mengumumkan untuk bergerak solo pada PRN akan datang ini merupakan strategi yang betul dan memberi gambaran jelas kepada pengundi Sabah mengenai hala tuju mereka.

“Kita kena faham rakyat menyokong kerana jenama atau atau parti, ibarat kalau kita hendak membeli barang sudah pasti kita tengok jenama dulu, begitulah juga dengan rakyat apabila hendak mengundi nanti,” katanya.

PRN Sabah kali ini bukan sekadar tentang memilih wakil rakyat tetapi turut menjadi ujian kesatuan dalaman parti dan keupayaan untuk mendengar suara rakyat.

Justeru, jika krisis yang berlaku termasuk dakwaan wujud campur tangan pusat untuk menentukan calon payung terjun hingga mencetuskan gelora dalam PKR tidak ditangani dengan berhemah ia boleh mengundang kesan besar kepada gabungan parti negeri dan juga Pusat.