PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengingatkan pembangkang supaya tidak memainkan wayang politik berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) yang ditangguhkan bacaan keduanya pada Khamis.
Menurutnya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini telah memberi jaminan ketika sesi Pertanyaan Menteri (PMQT) bahawa pembangkang tidak akan menolak RUU berkenaan.
“Saya sebenarnya nak ucap terima kasih kepada Ketua Pembangkang kerana semalam semasa PMQT beliau telah janji kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau (Hamzah) kata pembangkang akan sokong akta ini. Mereka cuma minta tangguh.
“Tetapi beliau kata tak bantah. Dalam Hansard jelas, Ketua Pembangkang cakap mereka tidak akan bantah. Kamu semua dengar. Mereka cakap akan sokong. Cuma minta tangguh,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya pada Jumaat lepas.
Beliau turut menjelaskan sebab utama kerajaan membawa RUU PSB adalah untuk mengelakkan kejadian seperti di Razak Mansion, Kuala Lumpur apabila pembangunan semula dilakukan tanpa akta khas yang menjaga kepentingan penduduk.
“Apa sebenarnya berlaku di Razak Mansion kerana tak ada akta PSB, kerajaan dulu terus ambil (guna) Akta Pengambilan Tanah. Ada 33 keluarga tak setuju, rumah mereka terus dirampas. Selepas itu baru diberi pampasan.
“Sebab itu kami tak nak ulangi kesilapan sedemikian. Kerajaan Madani ialah kerajaan penuh ehsan, bersifat manusiawi dan juga simpati dengan rakyat.
"Kia perlu akta ini untuk melindungi hak dan kepentingan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pembangkang supaya tidak berpaling daripada pendirian asal apabila RUU tersebut dibawa semula ke Dewan Rakyat.
“Ok saya sekarang sudah tangguh. Apabila sampai jangan pula main wayang politik, sandiwara untuk memesong pandangan orang ramai,” katanya.