KUALA LUMPUR – Pembangkang akan terus menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 apabila ia dibentangkan untuk diluluskan di Dewan Negara selepas ini, berikutan kelulusannya di Dewan Rakyat tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, kelulusan RUU itu merunsingkan mereka kerana ia tidak melalui prosedur sepatutnya, selain terdapat peruntukan di bawah RUU tersebut yang memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk melakukan pindaan berkaitan nilai kelulusan peruntukan.
“Meskipun telah lulus, kita minta di Dewan Negara kita dapat tunjukkan bahawa kita menentang RUU ini. Kami juga akan terus membuat penentangan terbuka sehingga kami mengambil alih (kerajaan) nanti.
“Jawapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai Peraturan Mesyuarat 80B(1) dan 80B(3) juga mengelirukan.
“Bila ditanya, pada mulanya beliau kata tidak wajib RUU ini dirujuk kepada JPKP, maka kami pun diam. Tetapi apabila Yang Berhormat (YB) Beluran meminta tafsiran atau petua berkaitan perkara itu, beliau pula berkata JPKP perlu membuat surat untuk meminta RUU tersebut dibawa ke JPKP,” dakwanya pada sidang akhbar bersama ahli Parlimen pembangkang lain di Pusat Media Parlimen di sini, pada Khamis.
Shahidan turut mempersoalkan keperluan untuk membuat pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat berkenaan kerana ia didakwa tidak dipatuhi.
Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan sama ada akta baharu mengenai perolehan kerajaan boleh berfungsi atau sebaliknya apabila RUU itu diluluskan sepenuhnya untuk dilaksanakan.
“Kita tidak tahu apa status kalau akta dikuatkuasakan, kerana Peraturan Mesyuarat menyatakan wajib RUU ini dirujuk kepada JPKP. Jadi terpulang juga kalau ada pihak yang mahu mencabar perkara ini di mahkamah.
“Persoalan kami di pihak PN, mengapa RUU Perolehan Kerajaan 2025 yang dibawa untuk bacaan kali pertama pada Isnin lalu tidak dibawa ke jawatankuasa berkaitan?” soalnya.
Menurutnya, berdasarkan teks Peraturan Mesyuarat tersebut, ia menggunakan perkataan ‘shall’ dalam versi bahasa Inggeris dan ‘hendaklah’ dalam versi bahasa Melayu.
“Maknanya, ia wajib menjadi kewajipan kepada jawatankuasa ini untuk meneliti segera RUU yang telah dibawa untuk bacaan kali pertama,” jelasnya.