“Esoklah saya jawab terima atau tidak” - Sanusi

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan memuktamadkan keputusan sama ada menerima atau menolak pencalonan sebagai Naib Presiden Pas pada Jumaat, iaitu sehari sebelum tarikh akhir ditetapkan parti.

Beliau berkata, Jumaat merupakan hari terakhir untuk menjawab surat pencalonan yang diserahkan oleh Pas Pusat.

“Esok hari terakhir untuk bagi jawapan kepada surat pencalonan, jadi esoklah saya jawab. Hari ini tidak ada jawapan lagi, bila saya jawab esok, saya akan maklumkan apa keputusan saya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah di Taman Jubli Emas di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menegaskan, tempoh yang diberikan sehingga sebelum 29 Ogos dan beliau memilih untuk memberikan maklum balas pada saat akhir.

Beliau berkata, walaupun jawatan Naib Presiden menerima empat pencalonan dan hanya tiga calon akan mengisi kekosongan itu, ia bukanlah suatu persaingan sengit dalam Pas.

“Dalam Pas tidak ada persaingan sengit, tidak ada perebutan apa. Macam itulah juga sikap saya pun sama, tak akan bersaing dengan sesiapa. Saya cakap terus-terang, tidak ada yang tersembunyi atau tersirat,” jelasnya.

Muhammad Sanusi tegaskan tidak berminat untuk bersaing dalam sebarang jawatan dalam parti kerana menganggap budaya perebutan kuasa tidak wujud dalam Pas.

“Saya tidak akan bersaing untuk jawatan, tidak perlu. Siapa yang sudah biasa duduk di situ (jawatan) dan buat kerja dengan baik, teruskanlah,” katanya.

Beliau juga menghormati keputusan yang dibuat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Pada 21 Ogos lalu, Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat mengumumkan senarai calon yang layak bertanding bagi pemilihan jawatan parti untuk sesi 2025/2027 dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kekal tanpa pertandingan.

Tan Sri Abdul Hadi Awang diumumkan sebagai calon tunggal jawatan Presiden, manakala Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kekal sebagai calon tunggal jawatan Timbalan Presiden.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud dalam kenyataan memaklumkan, jawatan Naib Presiden pula menyaksikan empat calon dengan tiga daripadanya merupakan penyandang, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Abdullah, dengan penambahan calon Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.