Peter boleh hilang kelayakan ADUN Melalap pada 3 September - Speaker

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh keputusan di Mahkamah Rayuan pada 20 Ogos lepas untuk mengemukakan petisyen pengampunan, dan jika gagal, beliau akan hilang kelayakan sebagai ADUN.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, Peter mempunyai tempoh masa hingga 2 September bagi memfailkan petisyen pengampunan berkenaan.

"Jika beliau tidak memfailkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, maka kerusi ADUN Melalap dengan sendirinya akan menjadi kosong pada 3 September," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Kadzim berkata, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan dibuat dalam tempoh itu kerana DUN Sabah akan terbubar secara sendiri pada 11 November ini sekiranya tiada pembubaran sebelum tarikh berkenaan.

Kadzim berkata, mengikut Perkara 17(1)(e) Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana ADUN yang disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau denda tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai ADUN.

Pada 20 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakan Peter terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Oleh itu, bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu kekal menjalani hukuman penjara.

Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lepas memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara pada hari sama selepas menolak rayuannya terhadap sabitan, hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadapnya pada Mei 2022.

Peter, 54, telah membayar denda itu.

Pada 18 April 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengekalkan sabitan dan hukuman itu, menyebabkan Peter memfailkan rayuan, namun gagal yang mendorong beliau memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Rayuan yang didengar di hadapan panel hakim berbeza.

Beliau didakwa dalam kapasitinya sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Sdn Bhd, memalsukan surat daripada pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan kenyataan palsu dengan niat untuk memperdaya.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014. - Bernama