SHAH ALAM - Gabungan longgar melibatkan 12 parti politik yang ditubuhkan baru-baru ini bagi memperjuangkan isu rakyat disifatkan sebagai gerakan terdesak daripada pembangkang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, gabungan tersebut didakwa merupakan satu lagi percubaan untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain pemfailan saman bagi mempertikaikan keabsahan Anwar sebagai ahli Parlimen dan Perdana Menteri serta penganjuran himpunan aman.
Beliau berkata, ironinya kumpulan sama yang pernah menutup sidang Parlimen dan berbelanja tanpa kelulusan Dewan Rakyat, kini menuduh kerajaan hari ini sebagai zalim.
"Hari ini mereka mengatakan kerajaan zalim dan sebagainya. Jadi, tunjukkan dan senaraikan zalim itu di mana?
"Adakah kerana dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) lebih nipis daripada RMK12? Adakah kerana kerajaan menurunkan harga minyak kepada RM1.99 seliter?
"Adakah kerana pemberian RM100 melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas? Adakah kerana inisiatif membasmi kemiskinan tegar, itu dianggap zalim?" katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, sebanyak 12 parti pembangkang bersetuju menubuhkan sebuah gabungan longgar bagi memperjuangkan isu rakyat yang didakwa gagal ditangani Kerajaan Madani, termasuk janji reformasi yang masih belum dilaksanakan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun kesepakatan telah dicapai, nama rasmi bagi gabungan tersebut hanya akan diumumkan dalam mesyuarat akan datang.
Menurut Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, definisi zalim itu hakikatnya merujuk kepada tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap segelintir individu yang mempunyai kepentingan dengan mereka.
“Jika ada usaha untuk menawarkan pendekatan lebih baik untuk rakyat, maka mereka (pembangkang) sepatutnya perlu mengemukakan pelan jelas seperti ‘blueprint’, rancangan atau dokumen sebagai alternatif kepada dasar yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini.
“Tanpa pelan itu, ia hanya retorik kosong,” ujar beliau.
Mengulas berhubung perbezaan ideologi gabungan tersebut, Muhammad Kamil berkata, penyatuan yang diketuai oleh Muhyiddin itu dibentuk bukan atas dasar idealisme tetapi kerana kepentingan bersama.
“Apabila tidak ada idealisme, mereka bersatu sebab ada kepentingan bersama. Itu yang dipertahankan oleh pemimpin pembangkang kerana mereka takut dengan pendekatan kerajaan dalam membanteras rasuah, ketirisan, penyalahgunaan kuasa.
“Ini menyebabkan mereka tidak mampu terus bertahan dan harus mencari apa sahaja cara untuk menjatuhkan seorang individu bernama Anwar Ibrahim.
“Korupsi besar yang mengawal sistem dalam negara, hari ini dilihat sudah hilang cengkamannya. Ini kebimbangan besar bagi mereka,” ujar beliau.