'Putus hubungan dengan saya bermakna putus hubungan dengan UMNO' - Dr Akmal Saleh

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi reaksi tegas terhadap kenyataan Pemuda DAP Pulau Pinang yang menyeru kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengannya susulan dakwaan tindakan beliau bersifat provokasi.

Beliau berkata, tindakan memutuskan hubungan dengannya tidak boleh dilihat secara terpisah daripada organisasi yang diwakilinya.

"Putus hubungan dengan saya = putus hubungan dengan Pemuda UMNO = putus hubungan dengan UMNO. Ok. Bring it on," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Pemuda DAP Pulau Pinang menyeru kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengan Dr Muhamad Akmal susulan tindakan Ketua Pemuda UMNO itu yang didakwa bersifat provokasi.

Perkara tersebut dikeluarkan sehari selepas Dr Muhamad Akmal mengetuai protes di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, selepas pemilik premis terbabit dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.

Kenyataan berani Dr Muhamad Akmal dilihat sebagai isyarat bahawa sebarang tindakan terhadap dirinya akan memberi implikasi kepada hubungan politik antara DAP dan UMNO secara keseluruhan, khususnya dalam konteks kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.